Thursday, November 10, 2011

Entri Menjunjung Kasih.

Bismillah.
Solawat serta salam buat Rasulillah, kaum kerabat keluarga mulia baginda serta seluruh sahabat dan umat Islam sekalian.

DYTM Sultan Muhammad Faris Petra

Allahu akbar!
Allahu akbar!
Allahu akbar!

Ampun Tuanku beribu ampun. Sembah hamba mohon diampun.

Hamba mohon sudi dan limpah karunia perkenan Tuanku untuk hamba, apalah kiranya menulis sekelumit bicara mengenai diri Tuanku sebagai pengubat rindu dan kasih hamba sebagai rakyat jelata juga menjadi azimat kenang kenangan buat seluruh khazanah daulah Tuanku jua. Izinkan hamba berbahasa 'Patik'.

Ampun Tuanku.

Tuanku,

Patik bukanlah laksamana gagah Hang Tuah yang diibarat dinding lasak peti manian yang utuh mempertahan jelata, bukan juga seindah perawan dara Tun Teja yang menjadi buah mulut si raja raja. Patik hanya insan biasa mempersembah barang yang tiada berharga umpama semut mempersembahkan paha belalang jua. Niat patik berkias kata melantun bicara hanyalah bagi menjunjung kasih Tuanku jua hendaknya.

Sejujurnya patik berbesar hati menjadi rakyat yang terpilih dibawah kepimpinan Tuanku sebagai Raja Kelantan. Patik amat bersyukur dianugerahkan seorang Sultan yang pada hemat patik adil dan saksama adanya. Tiadalah pada diri patik ini melainkan doa dan munajat ke hadrat Allah Ta'ala agar dipanjangkan usia Tuanku sekeluarga untuk terus bertakhta memelihara tanah serendah sekebun bunga ini sehingga ke akhirnya.

Tuanku,
Tuah kerbau gemuk, tuah lombong berisi, tuah manusia semuafakat.

Kira kira selama 19 tahun umur patik, tiadalah patik merasa suatu perasaan indah bahagia melainkan disaat mendengar perkhabaran Tuanku dimasyhur menjadi Sultan Muhammad V pada 4 Syawal 1431 Hijiriyyah yang lalu. Sungguh di hati patik sekeluarga menumpang bangga dan bersyukur atas pertabalan ini. Meski patik berada jauh nun diceruk pelosok halaman, namun kesyukuran dan kegembiraan merayakannya tetap dirasakan bak kata pujangga, "tuah yang disembah, junjung yang dipanjat".

Patik juga menjunjung syukur ke hadrat Allah, atas permainya tanah ini dibawah Yang Mulia Sultan Ismail yang telah mencurah keringat mempertahan watan. Semoga kesihatan Tuanku Sultan Ismail dipelihara dari Yang Maha Mengyayangi, amen.

Tuanku Sultan,
Islam itu tinggi lalu tiada yang lebih tinggi tara darinya.

Patik bersyukur, Tuanku amat memberi perhatian atas nilai agama rakyat jelata semuanya. Islam yang ditulis didada jata Negeri bukan hanya sebagai alat puitis semata, tetapi dilaksana dengan berkat daulat Tuanku, alhamdulillah. Malah, Tuanku tegar memelihara kesucian agama dari diceroboh dari anasir luar yang pada hemat patik amat berbahaya jika dibiarkan berlarutan.

Allah Ta'ala telah berfirman, "Sungguh Aku jadikan dirimu wahai manusia sebagai Khalifah dimuka bumi ini". Patik sedar tanggungjawab Tuanku memelihara agama bukan semata dipundak Tuanku seorang jua, malah terbeban kepada seluruh buana manusia. Oleh itu, tidak keterlaluan jika patik khabarkan akan zihin kebanyakan orang bahawa sepakat memanggil Tuanku dengan pelbagai nama mulia seperti 'Sultan Muhammad', 'Sultan Muhammad al Fateh', serta 'Sultan Mulia'.

Keakraban Tuanku bersama golongan para 'alim ulama sudah cukup menenangkan hati patik. Kerana sudah tersurat didalam al Quran akan kelebihan seorang Raja yang beriman serta penduduk yang beriman itu pasti mengundang keberkahan dan pengurniaan Allah yang tiada terlintas di 'akal kita akan keluasannya. Tidak hairanlah, watan ini semakin hari semakin permai dan aman. Semua ini berkat daulat kerajaan Tuanku jua. Alhamdulillah.

Tuanku Sultan yang Mulia,
Sultan yang adil itu tergolong dari tujuh golongan mendapat naungan di Mahsyar sana.

Mengakhiri tulisan patik ini, patik persembahkan doa sebagai menjunjung kasih patik ke bawah Duli Tuanku. Semoga Tuanku  terus berdaulat di takhta kerajaan Kelantan sehingga ke akhir hayat Tuanku.

Ya Allah,
Duhai Tuhan Pemilik segala kerajaan
Duhai Tuhan Penguasa segala kekuasaan
Limpahkanlah kasih serta sayangMu atas Sultan Muhammad Faris Petra, serta sekalian kaum kerabatnya dan juga sekalian anak watan negeri permai ini.

Padulah hati kami bersama agar menerima IslamMu secara syumul dan satukan jua hati hati kami dalam kalangan hambaMu yang dikasihi lagi disayangi.

Patik ingin menyembah ucapan Tahniah dan Taat Setia kepada Tuanku atas Sambutan Ulangtahun Keputeraan Tuanku.

“ISLAM DIJUNJUNG, RAJA DISANJUNG, RAKYAT DIPAYUNG”


Allahu Akbar !
Allahu Akbar !
Allahu Akbar !

Wa lillahil Hamd.
Ampun Tuanku.

2 comments:

  1. subhanallah..

    indah madah bicara ini..

    semoga allah memakbulkan segala doa-doa ini..
    amienn

    ReplyDelete
  2. hasil didikan cikgu. terima kasih cikgu sudi jenguk ke laman saya. saya amat menghargainya. =)

    ReplyDelete