Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Wednesday, November 2, 2011

Something Forgotten.

Bismillah.
Solawat serta salam ke hadrat kekasih Junjungan Baginda Rasulillah Sollallahu ‘alaihi wasallam. Jua ke hadapan sekalian qarabat2 baginda yang tercinta jua sekalian para sahabat dan penerus beban da’wah baginda hingga ke akhirnya.



I’m still single but I’m not alone, hopefully until the end, amen.

Smile for someone. Smile for somebody. Everyone smile.

Sometimes, we do not appreciate somebody who knows us more than we know ourselves. Sometimes, we do not know there is person who cares about us more than we care ourselves.


Itulah sahaja bahasa inggerisku.  Kalau tulis lebih lagi, nescaya bertambah merahlah kertas aku, haha. Tak apa, dalam belajar, salah silap itu biasa.

Kawan2 sekalian,

Berbalik pada ungkapan pak Inggeris di atas itu, saya tahu banyak khilafnya dari aspek grammar mahupun spelling. Abaikan itu, kerana memang sudah kelemahan aku dalam bahasa orang putih ini. Ayuh, fokus pada maknanya yang saya rasa boleh la kalau nak difahami sikit sikit kan.

Persoalan kasih sayang.

Ya. Kasih sayang bukanlah sesempit luahan kata seorang kekasih semata. Tidak juga sekecil belaian manja kepada kucing kesayangan sahaja. Malah, juga merangkumi kasih sayang Tuhan atau lebih rapat kita panggil Allah. Tidak lupa, kasih sayang ibu ayah. Malah, juga kasih sayang kawan kawan semua.

Untuk kita lebih faham pengertian kasih sayang, saya kongsi sebuah kisah yang pernah berlaku tidak lama dahulu yang menyentuh hati saya dan ingin saya kongsikan pada semua. Satu peristiwa yang berlaku semasa kekasih kita, Muhammad SAW masih bernafas. Ketika itu telah berlaku suatu peperangan yang melibatkan kaum Ansar dan kaum Muhajirin di Makkah yang bersatu menentang musuh Islam. Seusai kemenangan dalam peperangan itu, seperti biasa ghanimah (harta hasil perang) dibahagikan oleh Baginda SAW. Iya. Ketika itu sudah ada Matematik, dan lebih hebat, tak perlu kalkulator kerana semuanya genius.  

Sebelum dibahagikan, baginda bertitah supaya Sayyidina Abu Bakr mengumumkan kepada semua untuk mengumpulkan setempat semua harta ghanimah, nabi nak buat unjuran kasar ke arithmetics function ke apa saya pun tak tahu, nabi lebih pakar matematik. Lalu, para sahabat taat, menyerah sahaja semua harta.

Sempat lagi nabi bagi tazkirah, dengan membandingkan keadaan di padang mahsyar kelak adalah seperti itu. Di mana Allah akan mengumpulkan semua amalan malah suatu yang kecil sekalipun untuk diadili dan dikira. Kalau banyak, alhamdulillah. Kalau sikit pun alhamdulillah. Kerana Syurga itu bukan dijejak dengan hasil amalan kita namun dengan rahmat Allah jua. Tapi, janganlah pula beralasan sebegitu untuk mengelak berbuat kebaikan kerana kebaikan yang banyak itu semestinya mengundang rahmat dari Allah. Tak rugi amalan banyak, asal tidak sombong dengan amalan, cukup.

Selepas nabi kira kira semua, nabi pun panggil seorang demi seorang dari kaum Muhajirin untuk ambik KDNK mereka, hehe. Ghanimah halal, jadi jangan tolak rezeki.

Sikit sikit lama lama habis semua harta tu cukup cukup kat semua kaum Muhajirin. Kaum Ansar tak seorang pun dapat. Eh, kenapa begini? Timbul persoalan. Nabi silap kira ke?

Nabi membiarkan sahaja dan terus bersalaman berpelukan dengan kaum Muhajirin yang selepas itu berlalu pulang ke Makkah kembai bersama ghanimah mereka. Kaum Ansar hairan. Nabi sebelum ni tak pernah fail matematik. Mereka bertanya sesama sendiri. Tak berani mempersoalkan terus kepada Baginda, bukan takut dimarah tapi takut menderhaka. Iyalah, itu nabi. Kalau dilawan nanti berdosa. Cuma, persoalan kenapa harta itu tidak sampai kepada mereka masih menjadi tanda tanya.

Selepas beberapa ketika tiba di Madinah, berita ini dah jadi panas pulak. Mungkin surat khabar ketika itu banyak memainkan isu ini, mungkinlah yang akhirnya sampai ke pengetahuan baginda sendiri. Dipendekkan cerita yang panjang itu, nabi tahulah yang ramai kurang berpuas hati akan keputusan KDNK nabi semasa peperangan itu.

Lalu nabi tersenyum. Ini memang trademark nabi. Bila disoal, ditanya atau pun dimarah, first benda yang dibuat mesti senyum. =) Itulah utamanya senyum.=)

Berdiri nabi menghampiri wajah ketua Sahabat Ansar. Senyum lagi. Nabi lalu menerangkan satu persatu hikmah disebalik peristiwa ‘Defisit Bajet’ itu.

Kenapa Muhajirin dapat banyak?
Nabi jawab bahawa mereka adalah sahabat yang baru masuk Islam. Hati mereka mesti dijinakkan dengan Islam. Sebab tu lah, nabi bagi lebih. Macam kita lah, kalau kita jumpa budak, first thing kita buat adalah tarik perhatian dan hati dia, sama ada bagi coklat atau bukak wallet bagi duit, insya allah hati budak tu senang lah nanti kita nak ajak kepada Islam. Inilah dinamakan uslub da’wah atau dalam BMnya, kaedah seruan.

Kenapa Ansar tak dapat apa apa? Adilkah begitu?
Sekali lagi nabi senyum. Lalu, ditanyakan kepada mereka satu sahaja soalan.

“apakah harta ghanimah (KDNK) itu lebih bernilai disisi kamu dari aku, Rasulillah SAW yang bersama kamu? apakah aku lebih murah dari semua itu?”

Tersentak hati para sahabat Ansar. Mengalirlah air mata kesal mereka. Baru disedari bahawa apalah sangat ni’mat mendapat habuan dunia dari berada dibawah kepimpinan nabi. Baru mereka sedar, bersama dengan nabi itulah ni’mat terbesar. Solat, berjalan, makan, malah bergurau senda bersama baginda itu ni’mat paling besar.

Lalu, kita sekarang, nabi dah tak ada, kita nak duduk bawah siapa? Haa, ubah sahaja frasanya. “Apalah sangat ni’mat dapat projek atau duit berjuta atau Mega Mall kalau nak dibandingkan berada dibawah kepimpinan para ‘alim ulama’”. Kerana alim ulama’lah pengganti para nabi. =)

Berbalik pada cerita kita. Kesedihan yang melanda Madinah Munawwarah inilah nilai kesuburan cinta yang disemai oleh nabi terhadap umat Islam ketika itu. Kalau kita disitu, kita menangis tak? Tak payah tipu, confirm akan tersentuh. Apa lagi yang kita mahu untuk hidup di atas dunia ni kalau tidak bersama nabi? Boleh dikucup sekali pun jadilah kerana baginda pernah kata sebarang tubuh yang bersentuh dengan nabi tidak akan dijilat api neraka. Inilah sebab ‘Aqashah yang dalam kisah mashur membela diri dikala nabi gering untuk mengambil peluang memeluk nabi.

Kita bagaimana? Tak apa. Nabi akan sedia memegang tangan kita di akhirat sana. Malah nabi akan memeluk kita seeratnya dengan hanya satu syarat sahaja. Apa? Ya. Ikuti sunnah baginda semampunya kerana dengan itu sahaja, kita akan disayangi dan dirindui baginda.

Begitulah kasih sayang. Bukan kita sahaja terlepas pandang benda benda sekeliling yang biasa kita dapat dengan merasakan ia bukan ni’mat dan erti kasih sayang sebenar, bahkan para sahabat juga pernah tersilap akan hal ini. Bukan merendahkan mereka, cuma inilah kesilapan umum manusia. Mudah melupakan sesuatu yang dekat dan selalu mengenang benda jauh.

Mengakhiri kalam, celik mata luas luas. Lihat apa disekeliling kita. Siapa bersama kita. Siapa didalam bilik dan rumah kita. Hargai mereka kerana itulah ni’mat paling berharga, bersama seorang yang juga mengasihi dan menyayangi kita. =)

“Cium tangan Ibu, salam tangan Ayah”
“Pegang tangan abang, erat tangan kakak”
“Peluk dada Tok Ki, kucup pipi Tok Wan”

*Kisah ini adalah sekelumit dari jutaan khazanah sirah baginda yang telah dihuarai kemas oleh al Fadhil Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man semasa Ijtima’ Tarbawi yang lalu. Kalau kawan kawan nak dengar sendiri dari mulut beliau, sila klik disini. =)

Wallahua’lam. Sekian. =)

Tuesday, September 13, 2011

Matlamat Kepimpinan Dalam Harakah Islamiyyah


Bismillah.
Solawat.
15 Syawal 1432 H
Persoalan kepimpinan (Al Qiadah) dalam sesuatu organisasi, apalagi sebuah Harakah Islamiyyah atau Jamaah Islamiyah adalah merupakan suatu soal yang amat penting. Apalagi mengingatkan sabda Rasulullah SaLlaLlahu 'alaihi Wasallam yang memberi amaran yang bermaksud,”Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancurannya”. Oleh itu soal kepimpinan dalam harakah (gerakan) bukanlah soal mudah. la tidak kurang pentingnya di mana soal-soal ini menemukan kita kepada Manhaj, Tarbiyah, dan Syura.

Kepimpinan dalam Harakah Islamiyah bukanlah perkara yang boleh diambil mudah, semudah kepimpinan dalam pertubuhan-pertubuhan lain kerana kepimpinan Harakah Islamiyah mewarisi kepimpinan gerakan yang dibawa oleh RasuluLlah SalaLlahualaihi Wasallam.

Maka penilaian kepimpinan Harakah Islamiyah bukanlah didasarkan; semata-mata kepada faktor lahiriah seperti ijazah, pengalaman berorganisasi, kepetahan bercakap tetapi YANG PALING UTAMA ialah soal ketaqwaan, keilmuan terhadap persoalan feqh (yang dimaksudkan di sini mempunyai pengetahuan agama tetapi bukanlah bermaksud ia mesti faqeh) dan syarat-syarat kepimpinan lain yang persetujui serta disepakati oleh para ulama Islam. Hal ini pernah digariskan ole ulama-ulama tersohor seperti Imam Al Mawardi, Ibn Taimiyyah dan lain-lain lagi.

Jadi, konsep kepimpinan dalam Harakah Islamiyah, bukanlah hanya penting kepada barisan pimpinan, malah setiap anggota harakah perlu turut memahami ruang lingkup tanggungjawab kepimpinan, thiqah (kepercayaan) yang mesti diberikan di samping ketaatan yang mesti dicurahkan. Sebagai. timbal balik para pimpinan pula hendaklah memberi hak bermusyawarah (syura) kepada ahli harakah dan para pengikutnya.

Inilah antara perkara yang menjamin kekuatan sesebuah Harakah Islamiyyah di mana pimpinan akan dapat selalu menilai sejauh mana amanah kepimpinan yang dipikul oleh mereka mencapai kejayaan dan mampu dilaksanakan, di samping anggota harakah pula boleh berperanan memberikan muhasabah yang berkesan kepada pimpinan, jika terdapat kelemahan atau penyelewengan dalam fikrah, sikap, tindakan atau sebagainya di kalangan pimpinan.

Kewibawaan pimpinan (Qiadah) Harakah Islamiyah pada hakikatnya adalah bergantung pada sejauh manakah mereka mampu memenuhi tanggungjawab perjuangan untuk mencapai matlamat harakah. Perlaksanaan amanah yang diberikan semestinya digerakkan atas dasar IMAN dan AMAL SOLEH. Kekuatan iman akan melahirkan tindakan yang bersih dan sihat.

Pimpinan yang hilang kewibawaan, tidak akan mampu menjalankan kawalan yang berkesan, nasihatnya tidak akan dipatuhi, keputusannya tidak akan dihormati, pandangannya akan dianggapi dengan pelbagai prasangka, kebijaksanaan dan keikhlasannya diragui malah mungkin pula sampai tahap kepimpinan dicabar secara terbuka.

Kewujudan ciri-ciri pimpinan yang unggul adalah suatu kemestian jika sesebuah organisasi itu mahu stabil dan kukuh. la harus pula dapat meyakinkan anggota-anggotanya bahawa ia tidak mem-punyai apa-apa kepentingan, ia tidak meminta kuasa dan tidak berniat pula untuk terus berkuasa. Ia hanya memegang kuasa selama ia dikehendaki kuasa adalah amanah. la bukan anugerah yang diterima sebagai hadiah. Amanah  adalah beban bukannya habuan.

Ketahuilah wahai ahli gerakan, kepimpinan dalam Islam merupakan ALAT bukannya tujuan. Ia adalah alat yang di-aktifkan untuk menyampaikan tujuan yang hendak dicapai oleh pemerintahan Islam itu sendiri (rujuk Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah. Hal:247) iaitu mewarisi kepimpinan Rasulullah SalaLlahualaihi Wasalam untuk menegakkan Agama Islam dan mengatur urusan keduniaan berdasarkan pengertian : “…menegakkan Agama Allah (Islam) dan mentadbir dunia dengan agama”. 

Nyatalah bahawa tujuan yang ingin dicapai oleh pemerintah Harakah Islamiyah itu ialah ;
1) Memelihara agama.
2) Mengatur urusan dunia.

Oleh kerana perlaksanaan perkara-perkara yang dituntut ini dengan cara yang lebih sempurna dan menyeluruh bergantung kepada wujudya Daulah Islamiyyah (Negara Islam) yang dikuasai oleh manusia Mukmin yang ikhlas, yang bekerja untuk Islam dan untuk Islam maka menegakkan sebuah pemerintahan Islam wajiblah menjadi matlamat utama pimpinan Harakah lslamiyah.

Sekiranya tujuan ini lari dalam sesuatu pertubuhan itu, maka tidak perlulah kita mengaku berada dalam satu gerakan yang dinamakan Harakah Islamiyah. Berdirinya Harakah Islamiyah adalah untuk meleburkan kekuasaan golongan thaghut, bukan untuk mendabik ketuanan ras atau bangsa, tidak puas hati dengan gerakan Islam yang sedia ada atau yang seumpamanya. Manakala matlamat yang mustahak dibangunkan oleh Harakah Islamiyah ini ialah menjulang suatu sistem di mana kekuasaan diamanahkan kepada golongan muttaqin (orang-orang yang bertaqwa).

Ketahuilah wahai ahli gerakan, berjuang ke arah pencapaian matlamat ini adalah tuntutan Allah Taala dalam rangka usaha mendapatkan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.

Islam telah menetapkan bahawa tujuan dan tugas utama pimpinan adalah melaksanakan ketaatan kepada ALLAH dan RASUL-NYA, serta melaksanakan perintah-perintah-Nya. Perkara ini ditegaskan oleh Allah sebagaimana maksud firman-Nya,”Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah pula kepada RASUL dan Pimpinan dan kalanganmu, maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada ALLAH dan RASUL jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Demikian itu adalah cara yang paling baik dan sebaik-baik jalan”.

Dan firmannya lagi, maksudnya,”Maka apabila kamu memberikan kepercayaan kepada sebahagian yang lain, maka hendaklah orang yang diserah amanah itu menunaikan amanahnya. Dan takutlah kepada ALLAH sebagai Tuhannya”.

Menunaikan amanah dalam konteks kepimpinan seperti yang djnyatakan dalam ayat 58 dan 59 surah An Nisa' di atas merupakan asas kepada seluruh sistem agama, kebudayaan dan politik Islam dan merupakan kaedah pertama dalam dustur Daulah Islamiyyah. Ini kerana penunaian amanah membuktikan empat perkara utama dalam kehidupan kaum Muslimin :
1]. Allah sebagai kemuncak suaka yang wajib ditaati melebihi makhluk-makhluk yang lain.
2]. Kesetiaan dan ketaatan kepada RasuluLlah SalaLlahualaihi Wasallam sebagai jalan melaksanakan kataatan kepada ALLAH.
3]. Ketaatan dan kesetiaan kaum Muslimin kepada Ulil Amri, yakni mereka yang telah diberikan kekuasaan untuk memimpin masyarakat.
4]. Penerimaan bahawa Al Quran dan As Sunnah sebagai perundangan utama masyarakat Islam. Oleh kerana itu  segala perselisihan perlulah mendapat penyelesaian dengan merujuk kepada Al Quran dan Sunnah. Manakala cara mendapat bimbingan Al Quran dan Sunnah ini mestilah dengan cara mendapat nasihat oleh para alim ulama.

Di sini dapatlah dibuat kesimpulan secara umumnya, tujuan kepimpinan dalam Harakah Islamiyah ialah menggerakkan Jamaah ke arah memenuhi ruang lingkup perjuangan para Anbiya'. Maka jika kita melihat secara keseluruhannya, sifat perjuangan Para Anbiya' ialah ke arah mencapai tujuan-tujuan berikut :
1]. Mencetuskan revolusi pemikiran dan pandangan hidup manusia kepada tuntutan Islam agar Islam itu menjiwai pemikiran, tujuan serta matlamat hidup, akhlak dan peradaban manusia.
2]. Pembentukan Jama'ah yang terdiri daripada manusia-manusia Muslim dan Mukmin dengan tujuan menegakkan kekuasaan Islam dengan menggunakan kekuatan secara halal.
3]. Menegakkan negara Islam, mengaturkan urusan-urusan dunia atas dasar Islam, memperluaskan pengaruh Islam ke seluruh dunia serta menyediakan pentarbiyahan moral dan intelek melalui contoh dan tauladan kepada manusia yang menerima Islam.

Suatu perjuangan yang diberi nama 'perjuangan Islam' hanya dapat diakui bilamana perjuangan itu digerakkan oleh IMAN dan AMAL SOLEH oleh para pemimpinnya. Pimpinan yang digerakkan oleh kepentingan diri, warna kulit, kedudukan, kemewahan dan seumpamanya bukanlah merupakan perjuangan Islam sekalipun diberikan nama yang berbentuk ke-Islaman.
Dipetik dari : Dewan Pemuda.

Friday, August 5, 2011

Demi Ibu, Saya Relakan Tubuh Saya.

Bismillah.
Solawat serta salam buat Kekasih Pejuang Baginda Nabi Muhammad SAW, Mujahid Agung Islam. Lalu, solawat bagi sekalian para sahabat yang terkemuka, seterusnya seluruh penerus Syuhada' sekaliannya.

4 Ramadhan 1432 H

" Jika mereka tembak ibu dengan peluru, saya tahanlah dengan tubuh saya " 
Jawapan seorang kanak kanak kecil berusia sekitar 7 tahun mengejutkan wartawan media antarabangsa. 

Inikah semangat kanak kanak Palestin? Sebegini berani?

Ya ! Mereka sememangnya amat berani. 

Dunia yang dikuasai Yahudi menyerang berdekad malah berabad terhadap Palestin. Hasilnya, masih sama. Setiap hari ada sahaja pengganti mujahidin mujahidah menginfaqkan diri mereka mempertahankan al Aqsa demi Islam.

Sekatan demi sekatan dilakukan. Ekonomi dibekukan, perhubungan dihentikan, juga keperluan perubatan sudah lama dihapuskan. Usahkan mengharap bantuan, keperluan asas tidak dibenarkan melepasi sempadan. Bertapa kuatnya sekatan terhadap mereka sehingga taraf kerakyatan juga dibatalkan. Seolah olah seluruh penduduk asal jadi pelarian dan sebaliknya bagi pelarian Yahudi. 

Namun apa kesan pada penduduk Palestin? Kecewakah mereka? Bersedihkah mereka? 

Tidak. Umat Palestin tetap sihat 'afiat malah semakin bertenaga mempertahankan hak dan terus menentang.

Tekanan ditambah lagi dengan memanggil bantuan dari Amerika, Australia dan England. Dikerah ratusan batallion tentera terlatih bagi membunuh seluruh penduduk Palestin demi misi mereka menguasai al Quds. Punggah habis semua kereta kebal, kereta perisai malah trak tentera sekali. Sekali imbas seolah Palestin sudah menjadi pengkalan tentera terbesar Amerika.

Berjayakah? Ya, tetap tidak. Umat Palestin masih sedia hidup disana. Silih berganti seperti biasa. 

Semakin tertekan, mereka guna cara lain. Diangkut pula kekuatan armada laut ke perairan Palestin. Ribuan armada perang bersama kelengkapan peluru jarak jauh mula melancarkan peluru dari arah laut ke darat. Setiap satu armada dikendali ratusan tentera laut Tentera Bersekutu. Campur semua sudah menyamai jumlah penduduk Singapura. Bersungguhnya mereka sampai seramai itu dikerah.

Hasilnya? Ya. Juga mengecewakan. Tetap tidak dapat membunuh semua rakyat Palestin. Jumlah yang syahid itu belum cukup bagi mereka. Lebih banyak peluru yang tidak menepati sasaran berbanding berjaya ke sasaran, kata mereka.

Tidak berhenti setakat itu, arah udara pula dimanfaatkan sepenuhnya. Ratusan pesawat pengangkut, pesawat pemerhati juga pesawat penggempur dibawa khusus untuk misi Palestin. Bukan tangan kosong, tetapi datang bersama bom berteknologi tinggi yang mampu menghancurkan apa sahaja yang dituju. Semua peluru berbisa diguna dan dilancar dari semua arah udara. Bertahun tahun, setia mereka melancar peluru kesana kemari, tetapi hasilnya? 

Mengecewakan lagi. Jumlah yang syahid tidak seperti yang dimahukan oleh mereka. Takkanlah guna ratusan peluru berpandu tetapi hanya sekelompok orang yang 'on target'.

Pening kepala mereka. Apa lagi nak buat ni? 

Mati akal mereka. Mati idea. Merasa hairan, mengapa sekian lama menggempur Palestin dengan cara yang paling hebat lah senang cerita, tapi hasilnya lambat sangat. Kenapa yang hidup masih ramai? Dari mana mereka datang?

'Di atas kertas', sepatutnya dengan jumlah kekuatan yang dikerah, ditambah dengan segala sekatan dan kekangan, mustahil masih ada walau seorang yang hidup di Palestin itu sekarang. 

Jawapannya?

Biarkan. Biarkan mereka tentera kuffar tercengang dengan semua ini. Mereka itu tentera kuffar, tidak beriman. Sememangnya tidak mampu memahami percaturan sepelik ini. Kalau anda pun rasa pelik, maknanya anda pun mungkin berjangkit dengan mereka, siapa tahu, na'uzubillah.

Tidak perlu hairan. Tidak perlu sangsi. Yakinlah dengan perlindungan Allah.
Sedangkan Allah telah berpesan kepada kita:

 Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. 
al Baqarah : 257

Allah itu Maha Berkuasa. Memiliki kuasa dalam segenap hal dan keadaan. Ragukah kita terhadap kuasa Allah melindungi penduduk Palestin selama ini? Insya allah, tidak.Tentunya ALlah itu lebih memahami perasaan dan keperluan rakyat Palestin dari kita semua. 

Namun, fahamilah. 

Bukan hanya berserah kepada bantuan ALlah semata mata, kita boleh berpeluk tubuh menunggu mereka tersungkur sendiri. Tidak, itu bukan yang dimahukan Allah. Demi ALlah, semua ini berlaku untuk menguji kita semua umat manusia, siapa dalam kalangan kita yang paling berani menyuarakan tentangan dan melancarkan tindak balas terhadap kuffar.

Jika ALlah mahu menghancurkan, sekelip mata ia bisa berlaku. Tetapi tidak pula ia berlaku. Ini bermakna ALlah mahu menunggu siapa dari kita yang terlebih dahulu berjuang dari segolongan lain yang hanya reti menangis dan menangis dan menangis.

Oleh itu, sebagai penutup bicara Rida Habib pada malam Jumaat pertama di Bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, Rida Habib menyeru sekalian umat Islam untuk sama sama menginsafi diri dan merenung jauh ke dalam hati kita semua, adakah selama ini kita pernah berjuang bersama Palestin? 

Atau kita hanya mampu melaungkan slogan anti zionis sehingga pecah suara tetapi hakikatnya bukan sebegitu bantahan kita. 

Kita mampu berarak puluhan kilometer tetapi apa yang kita beri kepada mereka secara langsung? Ada atau tiada?

Kita mampu berkumpul menghantar memorandum tetapi sejauh mana bantahan itu menyerap ke hati kita sendiri?

Kita mampu menangis melihat video kekejaman Israel terhadap saudara kita disana. Lalu, apa susulan dari kita? Hanya mengesat air mata kemudian berlalu dengan hati yang hiba. Begitu?

Tidakkah kita merasa malu mengaku saudara kepada kanak kanak kecil tadi?

Sama sama kita renungkan...  
Wallahua'lam.  

Saturday, July 16, 2011

Sudah Tahu Najis, Dimakan Lagi.

Bismillah.
Solawat serta salam buat Junjungan Baginda Rasul SAW serta sekalian kaum kerabat yang mulia juga tidak dilupa ke hadrat sekalian para tabi'en dan seterusnya buat sekalian umat Baginda Rasulillah SAW yang dikasihi lagi disayangi. 


15 Sya'ban 1432 H


Islam Hanya Di Atas Masjid.


Ini persepsi betul menurut golongan Sekular. Pandangan yang cuba ditanam sedalam dalamnya dalam benak fikiran kita semua. Pandangan sebegini bukan sahaja wujud sekarang, malah sejak zaman berzaman, pandangan terhadap Islam yang dikatakan hanya mencakupi bidang kesufian dan penyucian jiwa semata mata telah pun ada. 


Benarkah begini Islam? Mari kita pertimbangkan secara logik, bukan mahu membelakangkan hujah nas, tapi mahu lebih senang difahami. 


Jika Islam hanya bersifat zikir solawat dan solat serta ibadah ibadah asas sahaja, tidak mungkin Abu Jahal, si penguasa Makkah di zaman Rasulillah SAW dahulu memusuhi Baginda Habib sedemikian rupa hanya kerana mahu berzikir dan bersolat sehingga diriwayatkan terlalu banyak pertempuran dan keganasan ditekan ke atas para Sahabat terdahulu. Sepatutnya, apa mereka nak kisah kalau kita nak berzikir kuat kuat, mereka tak rugi apa apa pun.


Dan, jika Islam hanya bersifat statik dan tidak mencakupi segala hal atau tidak boleh diaplikasi dalam segenap zaman, masakan mungkin umat Islam kini yang sedang bangkit ditekan sebegini rupa malah suara kita  cuba disorok dari pengetahuan umat dunia. Kalau Islam hanya di Masjid, kenapa mesti ditekan? Kenapa mesti dikawal? Kami hanya mahu berzikir! Kami hanya mahu solat!  


Tidak! Golongan ini tahu, jika umat Islam mengetahui apa itu Islam yang sebenarnya, mereka akan bersatu dan mampu menguasai dunia.


Ini jelas bukti Islam bukan hanya agama. Tapi satu sistem cara hidup. Seluruh aspek berada dibawah Islam dan Islam bersifat Syumul ya'ni sempurna dalam segenap bidang, masa dan tempat. Bermula dari saat kita lahir sehingga ke saat kita menghembuskan nafas yang terakhir, segalanya telah disusun elok oleh Sang Pencipta untuk kita semua melalui perantaraan para Rasul yang mulia dalam al Quran dan Hadith baginda SAW.


Sistem hidup Islam inilah yang ditakuti dan dimusuhi golongan ini. Mereka yakin, dengan cara hidup ini, mereka akan mengalami banyak kerugian. Bagaimana mereka rugi?


Ya. Rugilah 'dunia' mereka. 


Sekular satu kelebihan bagi umat yang jahil untuk terus berkuasa. Juga, memastikan budaya ilmu dan adab terhapus terus dari kamus kehidupan manusia. 


Bahkan, dasar Sekular juga menjadi madu bagi umat yang mahu mengaut untung sehabisnya dalam perniagaan dan syarikat mereka. Tiada lagi halal haram, asal untung cukup. 
Malah, dasar sekular juga menjamin kedudukan mereka dari dinasihat dan dibimbing para agamawan. "..Aku berkuasa aku punya hal. Kau DI MASJID sudahlah!.."


Justeru, tidak hairanlah mengapa mereka bermati matian mempertahankan sistem sekular sebagai gaya hidup mereka dan kekal berkata Islam hanya di masjid supaya tertanam difikiran kita '' jika aku mahu betul betul Islam, aku harus hanya di Masjid ''.


Memuja Tulisan Tangan Lebih Dari Kalamullah


Kalau masyarakat Orang Ulu pun sudah mampu menerima semangat padi itu sebenarnya tiada. Padi menjadi atau tidak bukan kerana ayam seekor, tapi kerana baja berkilo dan saliran yang tersusun serta air dari Tuhan. Ini mereka, masyarakat pangan yang selalu kita ejek dengan jolokan masyarakat ketinggalan zaman. Mereka pun sudah tidak yakin dengan kuasa selain kuasa Tuhan. Bagi mereka ayam tiada erti mempengaruhi hasil tuaian.


Lalu, dimana pula kita yang masih percaya akan benda benda bodoh lagi. Kita masih lebih takut kepada kuasa 'tulisan tangan' dari Kalamullah ? Kita masih lebih taat dan menyanjung 'tulisan tangan' dari Kalamullah ?


Hebatnya jarum Sekular, kita seolah terbius dan rela dihukum dan dicanai berlandaskan 'hasil kerja' mereka. Kita merasakan seolah ketaatan kita kepada Perlembagaan adalah lebih bernilai dari taat kepada arahan al Quran. 


Dalam tidak sedar, kita lebih bodoh dari orang pangan tadi. Kalau kita kata mereka bodoh kerana percaya ayam membuka rezeki mereka, kita pula diketawakan mereka kerana takutkan tulisan sendiri lebih dari Wahyu Ilahi.


Kami Bukan Tidak Mahu Islam, Kami Cuma Mahu Menyesuaikan Islam Dengan Zaman Ini.


Ini ayat haprak mereka. Islam dijadikan mangsa. Keadaan semasa membenarkan Islam diubah dan disesuaikan. Seolah olah Islam hanya satu tatacara datok nenek mereka. 


Kalau Islam menetapkan Hudud sebagai undang undang wajib dilaksanakan, mereka kata sebaliknya. Kalau Islam menetapkan perkahwinan mestilah menurut syariat Islam, mereka mengubah ikut selera mereka. Kalau Islam menegaskan wanita itu dijaga dan dipelihara, mereka membenarkan wanita dieksploitasi demi 'maslahah' semasa. Peghilah!


Zina. Liwat. Rompak. Rasuah. Semua agenda kotor dipertahankan, dan dalam masa yang sama majlis majlis ilmu dan sistem pendidikan Islam tidak dimajukan selayaknya. Inikah umat yang ingin diri mereka dipeluk oleh Baginda Nabi SAW di akhirat kelak?


Ini Sekular. Jijik. Tapi, mengapa sejijik jijik dasar mereka, masih ada yang 'setia' mendokong hasrat perjuangan yang entah apa apa ini. Mengapa?


Kerana mereka berjuang demi harta benda. Demi kekayaan, segalanya mungkin. Demi bangsa, segalanya nampak mulia. Dan demi ketaatan dan ketuanan, segalanya halal belaka.


Di Akhir Zaman, Umat Jahil Berkuasa.


Inilah kebenaran Hadis Baginda SAW. Umat Islam akhir zaman akan ditadbir oleh golongan buta agama. Bahkan lebih teruk, golongan yang membenci agama dari masuk ke dalam jiwa dan kehidupan umat manusia.


Golongan jahil tidak akan pernah puas dari merampas hak orang lain kerana dihati mereka tiada nilai persaudaraan, dan tiada nilai ketaatan terhadap Islam. Benar, mereka mengaku Islam tetapi tindak tanduk mereka bukan seperti apa yang disyariatkan al Quran.


Justeru, kepimpinan Ulama' wajar ditonjolkan. Kepimpinan yang berlandaskan ilmu dan pengabdian kepada ALlah, itulah kepimpinan terpuji yang didambakan umat manusia kini. Tiada ni'mat yang lebih besar melainkan melihat Islam dijulang dan disanjung tinggi sesuai dengan tarafnya yang mulia.


Pemuda Harapan Agama


Ayuh, para pemuda sekalian. Kita generasi penerus. Kitalah pencorak generasi akan datang. Mahukah kita masih berpegang pada kualiti sistem Sekular kini yang jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar? 


Bersama sama kita mantapkan ilmu dan kefahaman kita bersama. Agar tidak mudah diperleceh dan diperdaya dari hasutan tipuan golongan Sekular Bangka ini. Ingat, walau sehebat mana manusia itu, setinggi mana kuasa mereka, pada akhirnya, kita semua manusia akan berlutut jua dihadapan Allah.


Ketika itu, barulah dirasakan bertapa hinanya golongan yang meremehkan Islam. 


Doaku Kepada Seluruh Pemuda


Duhai Tuhan, Jadikan kami para pemuda pemudi Malaysia khususnya dan semua umat manusia 'amnya sedar akan kesilapan kami selama ini berkiblatkan selainMu.


Ampunkan kami yang selama ini memandang ringan urusan agamaMu. Ampunkan kami yang selama ini meninggalkan tuntutan menyampaikan risalahMu. Ampunkan kami yang selama ini mengambil mudah penyelewengan terhadap agamaMu.


Bantulah kami membina saff perjuangan. Kuatkan kami dengan roh Jihad dan kesungguhan. Persatukan kami dengan akidah yang ikhlas demiMu Ya Allah. Jadikan kami golongan pemuda penyokong ayahanda bonda kami seluruhnya, sama sama bersatu menegakkan Islam di bumi ini, ameen.


Perkenankan doaku ini, amen Ya Rabb..

Thursday, June 2, 2011

Bismillah.

Solawat serta salam buat Junjungan Termulia Baginda Besar Nabi Muhammad SAW juga ke hadapan sekalian kaum kerabatnya yang disanjungi seterusnya para sahabat Baginda yang dirindui seterusnya kepada sekalian kaum Muslimin yang meneruskan risalah da'wah Tauheed ini sehingga ke hari kiamat.

Alhamdulillah. Selepas beberapa ketika akhirnya dengan kesepakatan Kudrat dan Iradah Allah, lalu Dia mengizinkan aku pada pagi yang penuh keberkatan ini untuk meluangkan sedikit masa menulis dan mencoret sedikit nukilan buat tatapan hati ini yang amat lagha dan tidak merasa gundah akan maslahah diri dan ummah, masya Allah.


TIGA SERANGKAI

Hari ini atau lebih tepatnya sebentar lagi tatkala masuknya azan Maghrib, Insya allah, aku berpeluang lagi menjejakkan kaki dan hati ke dalam Bulan Rejab. Jika Muharram dikenali sebagai bulan permulaan dalam kalender hidup umat Islam, juga Rabi'ul Awwal dipenuhi dengan kerinduan memperingati hari hijrah Rasulllah SAW ke Madinah dan menyambut hari kelahiran Baginda, maka begitu juga dengan Bulan Rejab.

Rejab dikenali juga dengan Bulan Allah hadir selepas tamamnya bulan Jamadil Akhir yang secara tidak sedar mengkhabarkan kepada kita bertapa dekatnya kita dengan penghulu sekalian bulan iaitu Bulan Ramadhan al Mubarak. 

Jelas, Allah memuliakan Rejab dengan peristiwa Isra' Mi'raj didalamnya yang padanya berlangsung sejarah pensyariatan solat yang merupakan tonggak ibadah terpenting umat Islam sehingga ke hari kiamat. Allah juga memuliakan Sya'ban dengan malam Nisfu Sya'ban yang padanya adalah detik dimana doa umat Islam tiada terhijab dari dimakbulkan oleh Allah. Lalu, ALlah mendatangkan Ramadhan selaku penghulu segala bulan sebagai pelengkap akan segala khazanah peristiwa ini dimana padanya tersimpan peristiwa Nuzul al Quran yang mana merupakan kitab pedoman tertinggi umat manusia sehingga ke hari kiamat.


TIGA BULAN SEBELUM RAMADHAN DENGAN TIGA BULAN SEBELUM KENDURI

Secara kebiasaannya manusia kurang mengambil berat soal persiapan dari aspek rohani sebegini. Hal ini kerana persiapan berbentuk rohani sebagai rangka persiapan menghadapi Rejab Syaban dan Ramadhan sudah tentu tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar. 

Namun, cuba bandingkan dengan persiapan berbentuk jasmani, biasanya manusia amat mengambil berat soal ini. Mengapa? Kerana manusia hanya mementingkan apa yang dilihat pada zahir pandangan mata kasar sahaja, walhal semua itu tidaklah sepenting persiapan dari aspek hati dan jiwa.

Inilah fitrah manusia yang merasakan ingin kepada harta dan kesenangan serta menikmati kemewahan. 


RINDU BERTEMPAT DIHARUSKAN SYARA'

Maka, disebabkan terlalu banyak keindahan khazanah peristiwa yang berlaku dalam tiga bulan yang akan kita tempuhi bersama ini, sudah semestinya suasana ini dirindui bagi hati hati yang sukakan kebahagiaan hakiki. Lihat sahaja dalam doa yang diajarkan kepada kita, tatkala masuknya Bulan Rejab, maka dibacanya doa ini yang secara jelas memberi perlambangan bagaimana cintanya dan kasihnya Baginda Rasulullah SAW untuk menempuhi ketiga tiga bulan besar ini.


اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا الى رمضان لا اله الا الله الحليم الكريم "

سبحان الله رب السموت السبع ورب العرش العظيم

" ولا حول ولا قوة الا بالله العلى العظيم 


Ya Allah, berkatkanlah bagi kami seluruhnya dalam Bulan Rejab, juga dalam Sya'ban sehingga ke Bulan Ramadhan. Tiada Tuhan selayaknya diabdikan melainkan ALlah Tuhan Maha Penyantun lagi Maha Mulia. Maha suci Allah Tuhan Pentadbir seluruh khazanah langit tujuh lapisan dan Tuhan Pentadbir Arash yang mulia. Sungguh tiada daya dan upaya kami melainkan dengan izinMu Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia

PERSIAPKAN DIRI DENGAN ILMU

Oleh hal yang demikian, seharusnya kita para pemuda sekalian, sewajarnya tidak mensiakan peluang bertemu tiga bulan indah ini. Ayuh, persiapkan diri menghadapi seluruh bulan bulan ini dengan merancang dan membayangkan keadaan dalam setiap hari sepanjang tiga bulan ini. Dengan harapan kita mampu menyelusuri setiap hari hari indah yang berlalu dalam ketiga tiga bulan ini dengan penuh keberkatan dan keredhaan ALlah, amen.

Mulakan hari hari yang berbaki ini untuk sama sama kita mencari penyelesaian segala permasalahan dalam ibadah seharian kita khususnya agar Rejab Sya'ban Ramadhan yang kita selusuri ini adalah tiga bulan yang lebih baik dari sekalian bulan bulan dan hari hari yang telah kita lalui, Insya allah.

NASIHAT UNTUK DIRIKU

Jika masih berpeluang merasa ni'matnya Rejab Sya'ban Ramadhan, maka sedarilah dirimu antara jiwa yang beruntung kerana berapa ramai dari kalangan para sahabatmu yang telah pergi yang tidak mampu lagi merasai kenikmatan ini. Dan berapa ramai juga dari kalangan saudaramu yang sedang bergolak tidak mampu memberi tumpuan kepada aspek ini dek kerana diambang ketakutan dan kezaliman penindasan. Dan sedarilah juga, mungkin ini peluang terakhir buat dirimu berbakti dan mengimarahkan ketiga tiga bulan ini kerana siapa tahu, ajalmu menanti pada 1 Syawal nanti.

Oleh itu, tiada salahnya jika engkau malu ketika ini mengejar khazanah yang tidak dilihat manusia kerana malu disini jauh lebih kecil berbanding malunya dirimu di hadapan ALlah tatkala disoal akan peluangmu yang engkau siakan kerana membiarkan tiga bulan besar ini berlalu tanpa pengisian dari jiwa dan hatimu.

Berubahlah dan bina kehidupan baru yang lebih indah untuk ditatapi kelak. Insya ALlah, dirimu mampu berubah kerana Allah mencintai jiwa yang suka bertaubat dan membersihkan diri dan hati.

Allahumma yasiirli wa waliwalidayya wa liqarabati wa liashabi summa ila jami'el muslimin. Fajma' bainana baina Nabiyyina Muhammad Sollallhu 'alaihi wasallam yauma la yanfa'u maalun wala banuna illa man atallaha biqalbin salim, amen ya Rabb.

Amen ya Rabbal 'Alamien.

Monday, May 23, 2011

Tidak Mustahil Malaysia Berubah Wajah.

Bismillah.
Solawat serta salam atas Junjungan Termulia, Baginda Rasulullah SAW serta sekalian kaum kerabatnya yang suci lalu kepada sekalian para sahabatnya yang setia dan seterusnya buat sekalian ummat Islam yang masih berpegang kepada tali Allah sehingga ke hari akhir.

Alhamdulillah, selepas hampir sebulan menunggu perkembangan dari Mesir, akhirnya dengan izin Allah, segala yang diidamkan dan didoakan jutaan umat Islam selama ini termakbul. Apa yang ana maksudkan adalah perkembangan terbaru politik di Mesir yang mana memperlihatkan kebangkitan yang berterusan dan bersistematik apabila Ikhwanul Muslimin disana sudah berjaya membina dan menggerakkan satu badan rasmi dalam kancah politik Mesir sekarang ini. [sini]

Jika bulan lepas, mereka masih merangka , kini Alhamdulillah dengan izin ALlah, Parti Islam buat ke sekian kalinya berjaya ditubuhkan kembali selepas diharamkan sejak pemerintahan Anwar Sadat lagi.

PELOPORNYA SUDAH PUN TIADA

Menyingkap perjuangan para Mujahidin Mesir yang rela bergalang gantikan tubuh dan darah mereka menggadaikan maruah demi Islam ini wajar dicontohi oleh negara Islam lain termasuklah di Malaysia. Ini bukan niat mahu menyeru menimbulkan keganasan tetapi seruan ke arah kebangkitan kesedaran dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia supaya berani bersuara, lantang berteriak menyatakan bahtahan, terhadap pemerintahan zalim kini.

Hasil penat jerih pejuang pejuang terdahulu yang antaranya telah syahid dalam memperjuangkan Islam dalam pentadbiran Mesir termasuklah Imam Hassan al Banna, Sheikh Hassan al Hudaibi, Sheikh Umar al Tilmisani, Ustaz Fathi Yakan dan lain lain. Juga yang masih hidup sehingga ke hari ini seperti Sheikh Yusuf al Qaradhawi, Dr. Wahbah az Zuhaili dan ramai lagi yang tidak mampu disebut satu persatu disini, kita sekarang mampu mengorak langkah ke hadapan bersama sama membina kesatuan umat Islam.

Cuma, apa yang perlu sekarang ini, sokongan dari segenap umat Islam mengangkat agama kita ini amat diperlukan ketika ini. Umat Islam sedang bangkit di seluruh pelusuk dunia dan dimasa inilah ujian paling getir menimpa kita dengan banyaknya hasutan supaya umat Islam kembali berpecah, nau'zubillah.

MALAYSIA JUGA BOLEH JIKA MESIR MAMPU LAKUKANNYA

Perjuangan tetap sama cuma mungkin caranya berbeza. Jika di Mesir, rakyatnya mendesak menukar kerajaan melalui jalanraya, wajarlah bagi mereka kerana institusi pilihanraya mereka terlalu kotor dan dipengaruhi parti pemerintah. Di Malaysia, walaupun ada berlaku kes kes 'pelik' tapi Institusi Pilihanraya masih dilihat jalan relevan untuk menukar kerajaan.

Jadi, perjuangan menegakkan pentadbiran dan undang undang berteraskan al Quran dan As Sunnah WAJIB diperjuangkan dari aspek ini sehingga kita berjaya seperti Mesir kini. 

Ingatlah sahabat seperjuanganku sekalian juga kepada diriku, Allah memberi peluang kepada kita umat di zaman ini untuk mengubah nasib umat Islam yang sudah sekian lama ditindas, lalu adakah kita mahu mengsiakannya?

Kita wajib memanfaatkannya ! 

Sunday, April 17, 2011

Ikhwan Mesir Sedang Mara !

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Solawat serta salam buat Kekasih Teragung Baginda Rasulullah SAW, juga buat sekalian kaum kerabatnya dan para sahabatnya yang tercinta juga sekalian yang mengikuti perjuangan Baginda sekaliannya.

Sungguh, bahang kehangatan Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak masih lagi terasa. Walaupun keputusan tidak menyebelahi kita semua, ini bukannya kayu ukur bahawa mereka tidak mahu menerima langsung apa yang dibawa oleh kita semua. Membuka hati manusia bukanlah urusan kita, kita hanya berusaha namun segalanya dalam genggaman kuasa Yang Maha Adil. Apa yang penting, Allah bukan menilai keputusan sama ada menang atau kalah, sebaliknya yang dinilai disisiNya adalah sejauh mana kita berusaha menyampaikan risalahNya ke seluruh umat. 

Apapun ana mengucapkan tahniah kepada sekalian Ikhwan yang telah bertungkus lumus ke sana membantu jentera pilihanraya meraih undi, semoga jasa kalian diredhai ALlah. Walaupun ana tidak ke sana, tetapi jiwa ana sunnguh bersama antum.  

Di sebalik kegagalan kita menyemai benih di Sarawak, Allah menggantikan dengan kejayaan yang amat besar pula di tempat lain. Subhanallah, inilah yang dikatakan, perancangan Allah mengatasi segalanya.

Apa yang ana maksudkan adalah perkembangan Ikhwan al Muslimin di Mesir.

Seperti mana kita semua sedia maklum, IM menjadi nadi utama disebalik kebangkitan rakyat di Mesir. Selepas berjaya mengolah kebangkitan rakyat menentang pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak sekitar tiga bulan yang lalu, kini IM mula mengorak langkah mengatur stategi ke arah pembinaan kerajaan pula. 

Allahu akbar.!!

Dalam perkembangan yang ana petik dari Ikatan Muslimin Malaysia ISMA, IM kini giat mengumpulkan kekuatan membina satu parti yang digelar Parti Kebebasan dan Keadilan. Berbekalkan sokongan penuh rakyat Mesir ketika ini yang jelas menyebelahi IM, keupayaan parti ini menakluk Mesir dalam pilihanraya umum Mesir sekitar 3 bulan lagi dilihat suatu langkah mudah, insya allah.

Dewan Parlimen Republik Arab Mesir

Masakan tidak, jika dahulu IM menghantar calon sebagai perwakilan di arena politik sebagai calon BEBAS, mereka sudah mampu menyaingi calon Kerajaan. Mereka sudah mencapai satu pertiga hanya dengan berstatus BEBAS. 

Kini, tanpa tekanan dari Hosni Mubarak yang dahulu tidak meluluskan penubuhan sebarang parti berunsurkan Islam sebagai dasar dari menyertai pilihanraya, kini ianya sudah tiada lagi. Parti Kebebasan & Keadilan ini adalah satu sejarah baru yang terlakar di dada sejarah politik Mesir kerana mereka tidak lama lagi menjadi kerajaan di Mesir, Insya allah.

Namun, jangan ambil mudah kerana musuh ketat kita semua, Yahudi dan Nasrani tidak akan berdiam diri, masa tiga bulan ini akan digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk meruntuhkan kembali keutuhan IM di Mesir. Seperti mana janji Allah, Yahudi tidak akan pernah redha kepada kita semua selagi kita tidak mengikuti aturan mereka.

Dr. Mohamed Badi'


Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr. Mohamed Badi' menjelaskan dan menasihati kita semua:


"..kejayaan kita menumbangkan hosni Mubarak bukan lagi satu kejayaan yang menjadi matlamat utama kita. Sebaliknya sekarang, kita harus beralih kepada ke arah membina kerajaan secepat mungkin. Ruang kosong di kerusi kerusi kerajaan sekarang ini akan ditandingi dan kali ini, kami mara dengan satu parti. Rakyat perlu bertahan, jangan dipengaruhi dakyah pihak luar kerana dalam jangka masa dua bulan inilah sahaja peluang mereka (yahudi & nasrani) akan cuba menjatuhkan kita kembali. Bertawakkallah kita semua kepada ALlah.."

Saudaraku Se-Islam sekalian,

Allah maha Pengasih dan Maha Perkasa, Dia berhak menggulingkan siapa sahaja dan berhak meninggikan siapa sahaja. Mungkin sudah tiba masanya Islam akan kembali menyinar di dunia ini. Tidak kisah walau dimana ia bermula, sama ada di Malaysia, atau di China, atau di Mesir, apa yang penting seluruh umat Islam kini makin sedar akan tuntutan menjadikan Islam sebagai asas perundangan dan gaya hidup. Malahan, kita semua hakikatnya adalah satu parti walaupun nama yang berbeza, namun matlamat kita adalah tetap sama. Bayangkan, tatkala suatu kerajaan berjaya dibangunkan dengan Islam sebagai dasar dan perlaksanaannya. 

Demi Allah, inilah saat yang paling indah dalam hidup sekalian umat Islam yang selama ini sepi dari semua ini sejak Khilafah Islamiah ditumbangkan suatu masa dahulu. Demi Allah, dunia ini akan berubah wajah.


Oleh itu, berdoalah kita semua, agar saat indah ini dapat sama sama kita ni'mati dalam sisa hidup kita yang entah berbaki berapa ketika lagi. Jika kita bukanlah generasi yang ditakdirkan menikmati ni'mat ini, berdoalah juga, biarlah kita semua Syahid di jalanNya, kerana Syahid itu lebih utama disisi Allah dari mati sia sia. Biarlah kita semua tersenyum di dalam Syurga sana melihat generasi selepas kita hidup dalam keadaan harmoni aman damai di bawah payung Islam.

Ya ALlah, jadikanlah diriku dan sahabatku sekaliannya daripada para pejuang agamaMu Ya Allah, dan seandainya ditakdirkan kami mati, maka jangan matikan kami melainkan dalam keadaan Syahid.

Ameen...

Thursday, April 14, 2011

Ilahi Anta Maqsudi..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Solawat serta salam buat Kekasih Teragung Baginda Nabi Muhammad SAW.


Terkesan dari nukilan Akhi Mukhlis bertajuk "Al Quran Menjadi Wasilah" , ana dengan rendah hati mahu turut sama memberi respon akan isu ini.


Sekalian para Huffaz al Quran


Benar sahabatku,


Al Quran diturunkan bukan sekadar bukti kenabian Baginda Rasulullah SAW. Semestinya ada hikmah yang Allah mahu kita kaji dengan adanya kitab suci ini. Ana teringat kata kata anta tempoh hari:


"..aku sedih melihat segelintir para Hafiz/ah yang terlalu memberi fokus kepada aspek hafazan al Quran semata mata, tanpa mengambil 'ibrah daripada apa yang mereka hafazkan, sedangkan matlamat asal kita menghafaz al Quran bukan untuk semata mata mengingati akan setiap bait lafaz Kalamullah suci ini, tetapi memahami dan berusaha mendalaminya..sehingga ada sahaja aku lihat mereka masih teguh menghafaz al Quran walhal Bilal sudah mengumandangkan Azan..tidak pula bersegera menunaikan Solat, malahan menangguhnya dengan alasan mahu menghabiskan dahulu hafazan, sedangkan selepas Solat boleh sahaja disambung kembali. Di mana tuntutan sebenar? Adakah kuantiti hafazan yang dikejar atau keredhaan Allah yang dicari?.."
-perbualan kita tempoh hari di gerai makan selepas main futsal.

Mungkin di pandangan mata kasar, ini tidaklah menyalahi hukum kerana waktu Solat bukan hanya ketika itu sebaliknya Solat beberapa jam selepas itu pun tidak mengapa, namun persoalan yang ditimbulkan adalah di mana kefahaman dan nilai sensitiviti kita mengenai kepentingan menyegerakan Solat? Tambahan pula, ini melibatkan para Hafiz/ah al Quran yang suatu masa nanti akan memperjuangkan al Quran kembali.

Ana secara peribadi bukanlah berniat menjatuhkan imej para Hafiz/ah, malah 'sindrom' ini turut menular dalam diri ana sendiri. Di mana silap aku? Mengapa al Quran dibaca berkali kali, dihafaz bertubi tubi, dialun mendayu dayu, namun tuntutannya masih di tahap lama?

Ana petik kata kata anta dari entri anta yang membuat hati ana terkesan dan kembali menghisab, apakah aku sudah melaksanakan tuntutan al Quran.


".Sungguh, AL-Qur'an diturunkan sebagai tanda kasih dari ALlah.Menunjuki hambaNya jalan yang lurus menuju kasihNya dengan pelbagai kisah sebagai pengajaran, perumpamaan dan analogi, peringatan dan  janji-janji supaya mulut yang membaca disertakan hati sebagai ikrar, maka amal menjadi tanda.."
-Akhi Mukhlis




Ya Allah.
Perbaiki akhlakku dan cantikkan amalku..amen.


Terima kaseh Mukhlis. : ) 
 
 

Thursday, March 31, 2011

Keunggulan Anak Muda : Imam Hassan al Banna Di Awal Remajanya.

Assalmualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Solawat serta salam atas Junjunagn Besar baginda Nabi Muhammad SAW.

As Syahid Imam Hasan, 
tuturnya memautkan hati, 
sahsiahnya terdidik sejak kecil lagi, 
dan keilmuannya setinggi kemulian tawadhuknya kepada kami.
-Pejuang Ikhwan

Jika kita masyarakat sekarang asyik dibuai fana cinta sementara, leka membina imaginasi sendiri mengenai masa hadapan yang jauh, Imam Hasan al Banna tampil dengan contoh keperibadian Muslim sejati. Sewaktu As Syahid berumur lebih muda dari saya sendiri, sekitar As Syahid berusia 8 tahun, beliau tidak pula memenuhkan masanya berpeleseran di jalanan. Tidak juga terperosok di rumah semata menghitung hari cuti atau terbongkang lena dibuai mimpi, sebaliknya kisah di zaman mudanya amat berbeza sekali dan wajar diteladani.

Seperti mana kita semua sedia maklum, Mahmudiyyah menjadi lokasi bersejarah tatkala lahirnya anak muda ini. Terletak 90 batu dari barat laut Kaherah, di persekitaran ummat yang masih terjaga, dikelilingai keluarga yang berlatarbelakangkan pendidikan agama yang tinggi, As syahid diasuh bapanya Sheikh Ahmad Abdul Rahman al Banna yang merupakan lepasan Al Azhar juga seangkatan dengan Sheikh Muhammad Abduh. *Insya allah entri selanjutnya, kiat akan berkenalan lebih dengan ayahanda kita yang tercinta ini.

Pengasuhan Berhikmah

Anak muda ini diasuh sejak kecil akan selok belok adab dan tatasusila akhlak Islam. Tidak ketinggalan, ilmu ilmu asas Islam diajar seawal mungkin. Ini mungkin berbeza dengan anak anak kita yang lebih dahulu diajar menulis dan membaca tulisan rumi lalu diperkenalkan dengan ayam, itik, kerbau dan sebagainya. lalu, bagaimana bentuk pengajian As Syahid? Cuba kita bandingkan jadual asas pengajian anak anak muda zaman kita dengan pengajian As Syahid dikala awal remajanya dahulu.

Rutin harian As Syahid bersama Ayahandanya

5.00 - 6.00 pagi - Pengajian Quran dan Hafazan
6.00 - 7.00 pagi - Pengajian Syarah Hadis
7.00 - 8.00 pagi - Pengajian Fiqh dan Usul Fiqh
8.30 - Zohor      - Pengajian Fiqh Hanafi, Maliki

Pada peringkat awal inilah juga, As Syahid diasuh membaca kitab kitab besar yang antara lain dikarang oleh al-Qastallani, as-Sayaukani, al-Ghazali, dan Zamakhsyari. Malah, diperingkat usia ini juga, ayahandanya dan Sheikh Muhammad Zahran berperanan besar dalam pembentukan jiwa dan pemikiran si anak muda ini yang akhirnya menjadi 'Penggegar Dunia'.

Sungguh jiwa suci inilah yang apabila besar nanti mampu mengumpul tenaga dan menguasai fikrah manusia untuk membina daulah. 



Buat diriku yang dikasihi,

Dirimu tidaklah sebanding peribadi insan ini, dirimu tidak didedahkan dengan penguasaan ilmu ilmu agama seawal usia ini. Dirimu juga tidak dididik secara khusus oleh para 'alim ulama'. Malah dirimu juga tidak mendalami jutaan kitab dan hasil karya mereka. Sekalipun demikian, ingatlah, Allah tidak pernah akan mengecewakan hambanya yang berusaha. Walau sekecil mana usahamu, walau seringan mana pengorbananmu, dirimu masih berhak merebut Syurga Allah. kerana Sang pencipta Maha Penyayang.

Ya Allah..
jadikah diriku antara pewaris para Nabi..ameen.~