Showing posts with label Nasihat. Show all posts
Showing posts with label Nasihat. Show all posts

Sunday, January 29, 2012

Ribath al Qalb.

Bismillah.
Solawat serta salam atas Junjungan Tercinta Rasulillah SAW.

Alhamdulillah, selepas sudah agak lama tidak mencoret apa apa disini, dhuha yang indah ini Allah beri kesempatan. Moga moga sedikit perkongsian diberi barakah dan pahala disisi Allah SWT.

Minyak Wangi
 “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Memilih sahabat bukan kerja senang kerana mereka pantulan identiti kita. Sudah menjadi adat manusia mungkin, bersahabat dengan seseorang yang mempunyai paling banyak persamaan. Hobi, asal keturunan, tabiat kelakuan, pandangan dan kegemaran sering menjadi kriteria memilih sahabat. 

Konklusinya, seringkali persahabatan itu dimulai dengan persamaan dan jarang sekali saya dengar persahabatan bermula dengan perbezaan. Lumrah insani.

Namun, selepas meneliti kembali saya berpandangan persahabatan itu perlu lebih dari itu. Kalau kita lihat dalam konsep usrah yang diasaskan oleh Baginda Rasulillah SAW, Baginda tidak pernah melihat apa apa persamaan untuk menjadi pra syarat kepada baginda untuk layak bergelar 'Sahabah' kecuali hanya satu ya'ni Syahadah. Dalam erti kata lain, akidah. 

Seperti yang dicatat dalam Qasidah Muhammadiyah menggambarkan peribadi baginda:
"Muhammad itu semulia manusia; dalam kalangan 'Arab dan 'Ajam (bukan 'Arab) #Muhammad sebaik insan  berjalan atas telapak kakinya sendiri (rendah diri, tiada beza taraf)" 

Malah, al Imam  Hassan al Banna dalam mengasaskan pendekatan Usrah meletakkan tiga ciri utama iaitu, Pengenalan, Memahami dan Membantu tanpa meletakkan ciri 'Persamaan' sama sekali. As Syahid seolah meletakkan perbezaan manusia itu perlu dikenali sepenuhnya, difahami selok beloknya dan dibantu semampu mungkin. Sangat berbeza sebenarnya cara 'berkenalan' yang dianjur As Syahid dengan teknik biasa diguna orang kita untuk memilih sahabat.

Pada saya, mungkin atas didikan minda inilah, terkadang sifat mudah meminggirkan dan menyisihkan personaliti disekelilingnya yang tidak mempunyai persamaan timbul. Lebih lagi kalau timbul pula sifat kebencian disebabkan perbezaan ini. Sebagai contoh, apabila berlaku sedikit salah faham, kita cenderung melihat kepada perbezaan itu untuk bersikap 'tidak masyuk' dengannya. Walhal, itu bukan sebab yang kukuh sebenarnya.

Perbezaan pandangan, pemikiran dan pendapat bukanlah sesuatu yang pelik kerana sememangnya manusia dicipta dengan sifat yang saling melengkapi antara satu sama lain. Seolah sebuah binaan yang kukuh kata Allah dalam surah as Soff, memberi perumpamaan bahawa konsep melengkapi dalam perbezaan itu perlu diterapkan.

Ketahuilah, saranan ini telah pun diseru dan dipujuk oleh baginda sejak dahulu lagi melalui sabdanya daripada Abu Daud yang bermaksud:
"Seseorang sahabat itu mengikut deen (cara hidup) sahabatnya maka hendaklah salah seorang dari kamu melihat dengan siapa ia bersahabat" 
Malah Allah juga meletakkan ciri yang sama dalam firmanNya bermaksud:
"..Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara, maka berbaiklah diantara kamu.."
Sudah jelas, memilih sahabat yang sebenar adalah berasaskan agama dan akidahnya. Selagi dia Islam, maka kita berhak bersaudara dengannya dan dia berhak untuk kita cintai. Tiada yang berhak menghalang.

Perbezaan dalam setiap peribadi ibarat beza bau minyak wangi. Ada yang baunya lembut ada juga yang keras. tidak kurang juga bercirikan buah buahan malah ada juga yang berunsurkan campuran. Namun, segalanya dalam satu rumpun, diletak bersama sebagai 'minyak wangi'. Itulah umat Islam. Bezanya walau dari sudut mana sahaja, ia tetap Muslim dan ia wajar disayangi dan dikasihi kita semua.

Yang bukan Islam? Insya allah, saya utarakan dalam post seterusnya.

Khulasah qoul, perbezaan pandangan dan tidak sama pendapat dalam apa apa jua hal wajar dipandang sebagai penyatu antara umat Islam.

Bayangkan, apa agaknya perasaan Baginda melihat umatnya sekarang yang seakan mahu kembali meniupkan sentimen perkauman dan perbezaan ideologi sebagai asas perjuangan. Cukuplah kita membuatkan baginda sedih saban hari.

Ayuh, sama sama kita insafi dan menyedari bahawa kesatuan manusia hanya boleh dicapai dengan mendasari Islam itu sendiri. Kalau kita masih berfikiran, bangsaku perlu dimartabatkan dan bangsa lain semuanya menaruh hasrat keji ke atas bangsa kita, ibarat kita menambah perit derita dihati baginda Rasulillah SAW sekarang.

Bersatulah Di Bawah Islam !


*salah silap saya dalam penulisan, sila tegur.

Friday, September 2, 2011

Nasihat Dari Sahabat.

Bismillah.
Solawat.


4 Syawal 1432 H

Telah berkata Imam Bushairi (Saiyidul Muddah, Qasidah BURDAH) :
 
"Tidakkan merasai hakikat CINTA pada Nabi, bagi kaum yang TIDUR, menunggu2 Baginda Nabi hadir di dalam MIMPI!"
Cinta pada Baginda, antaranya ialah MENYINTAI apa yang dicintai Baginda SAW. Membuktikan CINTA pada Baginda, ialah dengan menjadi mata rantai yang meneruskan kelangsungan dan kesinambungan PERJUANGAN Nabi SAW.
"Tidakkan sesekali difahami ERTI pengorbanan dan perjuangan Nabi, bagi mereka yang tidak mengikuti jejak langkahnya, tidak menyambung perjuangannya!"
Ayuh, BERJUANG! Apa shj DEMI ISLAM!
"Birruh.. Biddam!! Nafdika Ya RasulaLlah!!"
"Dengan NYAWA.. dengan DARAH!! Kami tebusmu Ya RasulaLlah!!"
-Muhammad Muizzuddin b Muhd Zaini
Sahabat Seperjuangan 

Friday, August 19, 2011

Masjid Nadi Tarbiyyah Ummah

Bismillah.
Alhamdulillah.
Solawat serta salam buat Kekasih Hati Baginda Rasulillah SAW. Juga buat sekalian kaum kerabatnya dan sekalian penerus beban da'wah baginda sehingga ke hari kiamat.


19 Ramadhan 1432 H


Ingin berkongsi peristiwa indah di pagi Jumaat sebentar tadi. Peristiwa Mimbar Jumaat.


Terlebih dahulu, ingin sekali saya memetik seuntai kata dari Khatib Masjid Semeling sebentar tadi dari mimbar Jumaat:
Tidak perlu kata kamu Cinta Allah. Tidak perlu ucap kamu Cinta Nabi. Jangan sekali diucap kamu sayang Nabi. Sehingga dua rakaat sebelum Subuh itu lebih kamu utamakan dari tidurmu sendiri. 
Dihadiri ratusan umat manusia, Mimbar Jumaat Masjid Semeling kali ini seakan sangat istimewa. Seperti biasa usai azan berkumandang, Sang Imam naik ke mimbar memberi salam tanda bersedia menyampaikan Khutbah.

Usai azan. Khatib memulakan bicara seperti biasa. Tiada banyak beza dari khutbah sebelumnya sehinggalah Tuan Khatib menyentuh satu ayat dari al Quran yang menyentuh perihal bulan Ramadhan. Ayatnya berbunyi:


Wahai insan insan beriman. Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas insan insan sebelum kamu.
Tuan Khatib mendongak melihat ke hadapan. Mungkin sedikit tersentuh dengan ayat yang dibacakan. Matanya tidak berair tetapi suaranya yang bergetar getar itu sudah cukup menggambarkan kesedihan hatinya sebagai seorang Imam.

Merasa dibebani tanggungjawab membimbing ratusan umat dihadapannya, Tuan Khatib mula bermadah 'tanpa teks'.

" Tuan tuan sekalian.

Sudah 19 hari kita semua dihidupkan ALlah menikmati Ramadhan. Malam ini, malam pertama dari sepuluh malam terakhir bulan mulia ini. 

Tuan tuan,

Saya mahu beritahu, tak usah nak sembang nak kejar lailatul qadar.
Tak usah tuan tuan nak cakap pasal seribu bulan. Tak payah tuan tuan nak berangan nak dapat ganjaran sedemikian.. KALAU tuan tuan tak berjaya penuhi 5 amalan yang saya akan sebut selepas ini. Kalau tuan tuan dah buat 5 amalan ini, saya berani jamin, tuan tuan adalah hamba ALlah yang terpilih mendapat ganjaran besar ini.


Pertama.
Tuan tuan, tanya diri tuan tuan secara jujur. Tuan tuan cukup tak solat Tarawih? Jawab tuan tuan..jawab. Kalau sebelum ini diawal Ramadhan Masjid kita (Masjid Semeling) ini penuh, sekarang tidak sepenuh dulu, kemana tuan tuan sekalian? Solat dimana? 


Dimana anak anak tuan tuan? Mereka solat Tarawih atau tidak?..


Kedua.
Tuan tuan, tanya juga dalam hati tuan tuan. Berapa kali tuan tuan qiamullail sebelum sahur. Berapa kali pada bulan ini, tuan tuan solat dulu dua rakaat sebelum sahur? Berapa kali? Sebulan dah nak habis ! Berapa kali tuan tuan solat Tahajjud? Berapa kali tuan tuan solat Taubah? Berapa kali tuan tuan solat Hajat?


Subhanallah..tuan tuan. 
Sudah penuhkah amalan kita sampai solat sunat pun tak mahu?


Ketiga.
Tuan tuan yang dirahmati Allah sekalian.
Berapa banyak masa tuan tuan luangkan dalam sehari khas untuk al Quran? Berapa lama tuan tuan? Sejam? Ada ke tidak? Ada ke?


Keempat.
Tuan tuan yang disayangi Allah sekalian.
Amalan keempat yang saya nak tuan tuan sekalian renung dan timbangkan. Sudah berapa banyak tuan tuan bersedaqah dalam bulan ini, tuan tuan? 


Tuan tuan, kalau ada orang janji nak beri sebiji kereta kat sesiapa yang solat Tarawih malam ni, agak agak, berapa ramai orang hadir Tarawih malam ni? Agak agak tuan tuan lah, ramai tak? Dah tu, kalau ini ALlah sendiri janji dapat Syurga kalau bersadaqah di bulan Ramadhan, tuan tuan tak rasa nak ke? Tak rasa mahu ke?


Dan kelima. Yang terakhir tuan tuan.
Saya nak tanya. Berapa kali tuan tuan solat Jemaah di masjid. Bukan solat sunat, tapi solat wajib tuan tuan. Subhanallah.


Tuan tuan, amat rugilah kalau kita di Bulan Ramadhan pun tak dapat hadir ke sini (Masjid Semeling) walhal rumah tuan tuan dengan masjid tak lah jauh mana. Dan, kalau jauh pun, tuan tuan tak dak nak sibuk apa.


Kalau dulu, sebelum Ramadhan orang beralasan Syaitan ramai. Sekarang saya nak tanya tuan tuan, Syaitan mana lagi yang duk bertenggek atas tuan tuan yang sampai tuan tuan rasa berat sangat nak mai solat di Masjid? Cuba sebut, Syaitan mana?


Tuan tuan, 


Kalau pun dalam lima ni tuan tuan tak mampu nak buat semua, yang kelima ni sahaja pun cukuplah tuan tuan. Tolonglah tuan tuan. Jaga solat jemaah kita.
Tuan tuan, ingat!


Ayat saya baca pada permulaan tadi bukan sengaja dibaca tanpa tujuan. Ayat tadilah menjadi matlamat kita semua yang masih hidup ini dalam bulan Ramadhan. 


TAQWA itu, matlamat Ramadhan.. 
Aquulu qauli haaza wa astaghfirallahal 'azhima li walakum...~ "




Habis.
Itu. Tadi.


Subhanallah. Saya secara jujur merasa alangkah baiknya kalau Khutbah Jumaat di semua tempat begini. Maksud saya, alangkah indahnya Khutbah Jumaat jika ia disampaikan bukan 'dari kertas' tetapi dari hati. Sungguh, kata kata dari hati itu AMAT menusuk ke hati. 


Saya kagum dengan keberanian dan kemampuan Tuan Khatib menegur secara langsung anak qaryahnya. Inilah sepatutnya sikap Tuan Khatib. Berani. Bukan hanya membaca, membaca dan membaca. Selesai membaca, turun mimbar lalu mengimamkan solat Jumaat tanpa sedikit pun merasa sensitif dan sedih mengenang keadaan masyarakat sekeliling. Seharusnya, kuasa yang diberi untuk berkhutbah bukan sekadar menjadi medan muhasabah masyarakat, tetapi medan da'wah utama umat Islam ke arah kesatuan dan kesepaduan. 


Semoga ALlah merahmati, membuka seluas luasnya pintu rahmat dan dipanjangkan umur Tuan Khatib tadi, amen.


Masjid Nadi Tarbiyyah Ummah


Rida Habib merasakah, ucapan secara spontan itu adalah lebih jelas dan mudah difahami maksudnya dari membaca teks berjela jela namun natijahnya, umat tetap buntu tanpa mengerti apa apa. Kembalikan ruh Khutbah Jumaat. Inilah kekuatan umat Islam. 

Wallahua'lam. ^_^






  

Friday, August 5, 2011

Demi Ibu, Saya Relakan Tubuh Saya.

Bismillah.
Solawat serta salam buat Kekasih Pejuang Baginda Nabi Muhammad SAW, Mujahid Agung Islam. Lalu, solawat bagi sekalian para sahabat yang terkemuka, seterusnya seluruh penerus Syuhada' sekaliannya.

4 Ramadhan 1432 H

" Jika mereka tembak ibu dengan peluru, saya tahanlah dengan tubuh saya " 
Jawapan seorang kanak kanak kecil berusia sekitar 7 tahun mengejutkan wartawan media antarabangsa. 

Inikah semangat kanak kanak Palestin? Sebegini berani?

Ya ! Mereka sememangnya amat berani. 

Dunia yang dikuasai Yahudi menyerang berdekad malah berabad terhadap Palestin. Hasilnya, masih sama. Setiap hari ada sahaja pengganti mujahidin mujahidah menginfaqkan diri mereka mempertahankan al Aqsa demi Islam.

Sekatan demi sekatan dilakukan. Ekonomi dibekukan, perhubungan dihentikan, juga keperluan perubatan sudah lama dihapuskan. Usahkan mengharap bantuan, keperluan asas tidak dibenarkan melepasi sempadan. Bertapa kuatnya sekatan terhadap mereka sehingga taraf kerakyatan juga dibatalkan. Seolah olah seluruh penduduk asal jadi pelarian dan sebaliknya bagi pelarian Yahudi. 

Namun apa kesan pada penduduk Palestin? Kecewakah mereka? Bersedihkah mereka? 

Tidak. Umat Palestin tetap sihat 'afiat malah semakin bertenaga mempertahankan hak dan terus menentang.

Tekanan ditambah lagi dengan memanggil bantuan dari Amerika, Australia dan England. Dikerah ratusan batallion tentera terlatih bagi membunuh seluruh penduduk Palestin demi misi mereka menguasai al Quds. Punggah habis semua kereta kebal, kereta perisai malah trak tentera sekali. Sekali imbas seolah Palestin sudah menjadi pengkalan tentera terbesar Amerika.

Berjayakah? Ya, tetap tidak. Umat Palestin masih sedia hidup disana. Silih berganti seperti biasa. 

Semakin tertekan, mereka guna cara lain. Diangkut pula kekuatan armada laut ke perairan Palestin. Ribuan armada perang bersama kelengkapan peluru jarak jauh mula melancarkan peluru dari arah laut ke darat. Setiap satu armada dikendali ratusan tentera laut Tentera Bersekutu. Campur semua sudah menyamai jumlah penduduk Singapura. Bersungguhnya mereka sampai seramai itu dikerah.

Hasilnya? Ya. Juga mengecewakan. Tetap tidak dapat membunuh semua rakyat Palestin. Jumlah yang syahid itu belum cukup bagi mereka. Lebih banyak peluru yang tidak menepati sasaran berbanding berjaya ke sasaran, kata mereka.

Tidak berhenti setakat itu, arah udara pula dimanfaatkan sepenuhnya. Ratusan pesawat pengangkut, pesawat pemerhati juga pesawat penggempur dibawa khusus untuk misi Palestin. Bukan tangan kosong, tetapi datang bersama bom berteknologi tinggi yang mampu menghancurkan apa sahaja yang dituju. Semua peluru berbisa diguna dan dilancar dari semua arah udara. Bertahun tahun, setia mereka melancar peluru kesana kemari, tetapi hasilnya? 

Mengecewakan lagi. Jumlah yang syahid tidak seperti yang dimahukan oleh mereka. Takkanlah guna ratusan peluru berpandu tetapi hanya sekelompok orang yang 'on target'.

Pening kepala mereka. Apa lagi nak buat ni? 

Mati akal mereka. Mati idea. Merasa hairan, mengapa sekian lama menggempur Palestin dengan cara yang paling hebat lah senang cerita, tapi hasilnya lambat sangat. Kenapa yang hidup masih ramai? Dari mana mereka datang?

'Di atas kertas', sepatutnya dengan jumlah kekuatan yang dikerah, ditambah dengan segala sekatan dan kekangan, mustahil masih ada walau seorang yang hidup di Palestin itu sekarang. 

Jawapannya?

Biarkan. Biarkan mereka tentera kuffar tercengang dengan semua ini. Mereka itu tentera kuffar, tidak beriman. Sememangnya tidak mampu memahami percaturan sepelik ini. Kalau anda pun rasa pelik, maknanya anda pun mungkin berjangkit dengan mereka, siapa tahu, na'uzubillah.

Tidak perlu hairan. Tidak perlu sangsi. Yakinlah dengan perlindungan Allah.
Sedangkan Allah telah berpesan kepada kita:

 Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. 
al Baqarah : 257

Allah itu Maha Berkuasa. Memiliki kuasa dalam segenap hal dan keadaan. Ragukah kita terhadap kuasa Allah melindungi penduduk Palestin selama ini? Insya allah, tidak.Tentunya ALlah itu lebih memahami perasaan dan keperluan rakyat Palestin dari kita semua. 

Namun, fahamilah. 

Bukan hanya berserah kepada bantuan ALlah semata mata, kita boleh berpeluk tubuh menunggu mereka tersungkur sendiri. Tidak, itu bukan yang dimahukan Allah. Demi ALlah, semua ini berlaku untuk menguji kita semua umat manusia, siapa dalam kalangan kita yang paling berani menyuarakan tentangan dan melancarkan tindak balas terhadap kuffar.

Jika ALlah mahu menghancurkan, sekelip mata ia bisa berlaku. Tetapi tidak pula ia berlaku. Ini bermakna ALlah mahu menunggu siapa dari kita yang terlebih dahulu berjuang dari segolongan lain yang hanya reti menangis dan menangis dan menangis.

Oleh itu, sebagai penutup bicara Rida Habib pada malam Jumaat pertama di Bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, Rida Habib menyeru sekalian umat Islam untuk sama sama menginsafi diri dan merenung jauh ke dalam hati kita semua, adakah selama ini kita pernah berjuang bersama Palestin? 

Atau kita hanya mampu melaungkan slogan anti zionis sehingga pecah suara tetapi hakikatnya bukan sebegitu bantahan kita. 

Kita mampu berarak puluhan kilometer tetapi apa yang kita beri kepada mereka secara langsung? Ada atau tiada?

Kita mampu berkumpul menghantar memorandum tetapi sejauh mana bantahan itu menyerap ke hati kita sendiri?

Kita mampu menangis melihat video kekejaman Israel terhadap saudara kita disana. Lalu, apa susulan dari kita? Hanya mengesat air mata kemudian berlalu dengan hati yang hiba. Begitu?

Tidakkah kita merasa malu mengaku saudara kepada kanak kanak kecil tadi?

Sama sama kita renungkan...  
Wallahua'lam.  

Thursday, June 2, 2011

Bismillah.

Solawat serta salam buat Junjungan Termulia Baginda Besar Nabi Muhammad SAW juga ke hadapan sekalian kaum kerabatnya yang disanjungi seterusnya para sahabat Baginda yang dirindui seterusnya kepada sekalian kaum Muslimin yang meneruskan risalah da'wah Tauheed ini sehingga ke hari kiamat.

Alhamdulillah. Selepas beberapa ketika akhirnya dengan kesepakatan Kudrat dan Iradah Allah, lalu Dia mengizinkan aku pada pagi yang penuh keberkatan ini untuk meluangkan sedikit masa menulis dan mencoret sedikit nukilan buat tatapan hati ini yang amat lagha dan tidak merasa gundah akan maslahah diri dan ummah, masya Allah.


TIGA SERANGKAI

Hari ini atau lebih tepatnya sebentar lagi tatkala masuknya azan Maghrib, Insya allah, aku berpeluang lagi menjejakkan kaki dan hati ke dalam Bulan Rejab. Jika Muharram dikenali sebagai bulan permulaan dalam kalender hidup umat Islam, juga Rabi'ul Awwal dipenuhi dengan kerinduan memperingati hari hijrah Rasulllah SAW ke Madinah dan menyambut hari kelahiran Baginda, maka begitu juga dengan Bulan Rejab.

Rejab dikenali juga dengan Bulan Allah hadir selepas tamamnya bulan Jamadil Akhir yang secara tidak sedar mengkhabarkan kepada kita bertapa dekatnya kita dengan penghulu sekalian bulan iaitu Bulan Ramadhan al Mubarak. 

Jelas, Allah memuliakan Rejab dengan peristiwa Isra' Mi'raj didalamnya yang padanya berlangsung sejarah pensyariatan solat yang merupakan tonggak ibadah terpenting umat Islam sehingga ke hari kiamat. Allah juga memuliakan Sya'ban dengan malam Nisfu Sya'ban yang padanya adalah detik dimana doa umat Islam tiada terhijab dari dimakbulkan oleh Allah. Lalu, ALlah mendatangkan Ramadhan selaku penghulu segala bulan sebagai pelengkap akan segala khazanah peristiwa ini dimana padanya tersimpan peristiwa Nuzul al Quran yang mana merupakan kitab pedoman tertinggi umat manusia sehingga ke hari kiamat.


TIGA BULAN SEBELUM RAMADHAN DENGAN TIGA BULAN SEBELUM KENDURI

Secara kebiasaannya manusia kurang mengambil berat soal persiapan dari aspek rohani sebegini. Hal ini kerana persiapan berbentuk rohani sebagai rangka persiapan menghadapi Rejab Syaban dan Ramadhan sudah tentu tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar. 

Namun, cuba bandingkan dengan persiapan berbentuk jasmani, biasanya manusia amat mengambil berat soal ini. Mengapa? Kerana manusia hanya mementingkan apa yang dilihat pada zahir pandangan mata kasar sahaja, walhal semua itu tidaklah sepenting persiapan dari aspek hati dan jiwa.

Inilah fitrah manusia yang merasakan ingin kepada harta dan kesenangan serta menikmati kemewahan. 


RINDU BERTEMPAT DIHARUSKAN SYARA'

Maka, disebabkan terlalu banyak keindahan khazanah peristiwa yang berlaku dalam tiga bulan yang akan kita tempuhi bersama ini, sudah semestinya suasana ini dirindui bagi hati hati yang sukakan kebahagiaan hakiki. Lihat sahaja dalam doa yang diajarkan kepada kita, tatkala masuknya Bulan Rejab, maka dibacanya doa ini yang secara jelas memberi perlambangan bagaimana cintanya dan kasihnya Baginda Rasulullah SAW untuk menempuhi ketiga tiga bulan besar ini.


اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا الى رمضان لا اله الا الله الحليم الكريم "

سبحان الله رب السموت السبع ورب العرش العظيم

" ولا حول ولا قوة الا بالله العلى العظيم 


Ya Allah, berkatkanlah bagi kami seluruhnya dalam Bulan Rejab, juga dalam Sya'ban sehingga ke Bulan Ramadhan. Tiada Tuhan selayaknya diabdikan melainkan ALlah Tuhan Maha Penyantun lagi Maha Mulia. Maha suci Allah Tuhan Pentadbir seluruh khazanah langit tujuh lapisan dan Tuhan Pentadbir Arash yang mulia. Sungguh tiada daya dan upaya kami melainkan dengan izinMu Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia

PERSIAPKAN DIRI DENGAN ILMU

Oleh hal yang demikian, seharusnya kita para pemuda sekalian, sewajarnya tidak mensiakan peluang bertemu tiga bulan indah ini. Ayuh, persiapkan diri menghadapi seluruh bulan bulan ini dengan merancang dan membayangkan keadaan dalam setiap hari sepanjang tiga bulan ini. Dengan harapan kita mampu menyelusuri setiap hari hari indah yang berlalu dalam ketiga tiga bulan ini dengan penuh keberkatan dan keredhaan ALlah, amen.

Mulakan hari hari yang berbaki ini untuk sama sama kita mencari penyelesaian segala permasalahan dalam ibadah seharian kita khususnya agar Rejab Sya'ban Ramadhan yang kita selusuri ini adalah tiga bulan yang lebih baik dari sekalian bulan bulan dan hari hari yang telah kita lalui, Insya allah.

NASIHAT UNTUK DIRIKU

Jika masih berpeluang merasa ni'matnya Rejab Sya'ban Ramadhan, maka sedarilah dirimu antara jiwa yang beruntung kerana berapa ramai dari kalangan para sahabatmu yang telah pergi yang tidak mampu lagi merasai kenikmatan ini. Dan berapa ramai juga dari kalangan saudaramu yang sedang bergolak tidak mampu memberi tumpuan kepada aspek ini dek kerana diambang ketakutan dan kezaliman penindasan. Dan sedarilah juga, mungkin ini peluang terakhir buat dirimu berbakti dan mengimarahkan ketiga tiga bulan ini kerana siapa tahu, ajalmu menanti pada 1 Syawal nanti.

Oleh itu, tiada salahnya jika engkau malu ketika ini mengejar khazanah yang tidak dilihat manusia kerana malu disini jauh lebih kecil berbanding malunya dirimu di hadapan ALlah tatkala disoal akan peluangmu yang engkau siakan kerana membiarkan tiga bulan besar ini berlalu tanpa pengisian dari jiwa dan hatimu.

Berubahlah dan bina kehidupan baru yang lebih indah untuk ditatapi kelak. Insya ALlah, dirimu mampu berubah kerana Allah mencintai jiwa yang suka bertaubat dan membersihkan diri dan hati.

Allahumma yasiirli wa waliwalidayya wa liqarabati wa liashabi summa ila jami'el muslimin. Fajma' bainana baina Nabiyyina Muhammad Sollallhu 'alaihi wasallam yauma la yanfa'u maalun wala banuna illa man atallaha biqalbin salim, amen ya Rabb.

Amen ya Rabbal 'Alamien.

Friday, January 21, 2011

..Terbius dan Terbisu Seketika..

Alhamdulilahi rabbil 'alamien.
Selawat dan salam atas Rasul Junjungan Muhammad SAW.

Entry kali ini memberi respon kepada blog sahabat seperjuangan ana Muizzuddin Zaini http://suarafata.blogspot.com/ yang menyentuh mengenai perjuangan anak muda zaman kini..
Benar sahabatku, perjuangan menegakkan keadilan sememangnya menghadapi risiko tinggi.

Bukan berniat menakutkan, namun tekanan dan penyiksaan ini jugalah yang menjadikan semangat jundi kita lebih kukuh dan teguh. Seorang mujahid yang tegar dan teguh tidak mengalah dek tekanan dan cabaran dari segala segi dan sudut tentangan. Malah, Si Dai'e akan terus mara dan inilah Jihad yang dibayangkan oleh Islam sebenarnya.

Namun, sahabatku, teringat daku akan beberapa nasihat dari Murabbi yang selalu berpesan akan keaslian dan cabaran dalam hidup seorang penda'wah terutamanya pemuda Islam seperti kita semua. Seringkali kita mampu menanggung beban dan cabaran namun, mampukah kita merempuh lembut belai kesenangan..

Semacam ini bandingannya..
Beruk

Seekor beruk 'merungkas' pokok kelapa untuk mencapai beberapa biji buah kelapa. Keletihan beruk itu memanjat sehinggalah sampai jua dia ke puncak pohon kelapa berkenaan yang disitulah terletaknya buah kelapa yang ingin dipetiknya. Namun, cuaca yang sedari tadi tenang tiba tiba bertukar mendung dan gelap, terlindung cahaya mentari dari pekat awan membawa hujan..

Secara tiba tiba, angin kencang merempuhnya lalu pohon kelapa itu bergoyang seakan akan mahu sahaja ia tumbang, beruk tadi pula yang sedang berada dipuncaknya tidak sempat turun lantas berpaut ia sekuat hati pada batang kelapa berkenaan. Angin yang kencang disusuli pula dengan dentuman yang menggegarkan jiwa serta hujan yang tersangat lebat, namun beruk berkenaan masih kukuh dan erat berpaut dan memeluk dahan kelapa itu, walhal tuannya sendiri sudah hilang entah ke mana..Doa, dan zikir tidak putus putus terpacul dari bibir si beruk dek takut disambar halilintar ataupun dihempap dahan kelapa lain yang juga berliuk liuk dipukul angin kencang..

Sudah usai ribut itu, keadaan kembali tenang dan cuaca kembali cerah..
"..Alhamdulillah.." kata beruk.

Ujian yang menimpanya sudah diangkat oleh Allah dek ketabahannya merempuh hujan tadi. Mungkin juga kerana makbulnya doa si beruk agar Allah memeliharanya..

Namun, tidak lama kemudian, Allah masih ingin menguji beruk ini, dihantarnya pula angin sepoi2 bahasa dan beralun lembut mengeringkan beruk yang kebasahan.

"..alangkah indahnya angin ini.."-kata si Beruk.

Sudah lupa ia akan nikmat itu datang dari Allah, sudah lupa ia akan kebesaran Allah..
Kenapa dikala mendapat bencana, cepat sahaja beruk ini berzikir dan bermunajat, tapi dikala senang, tidak ingat pula akan ni'mat Allah..
Akhirnya, si beruk leka menikmati angin dan ulitan lembut bayu itu sehingga tangannya yang erat memeluk dahan kelapa tadi tanpa disedarinya terlepas..dan akhirnya mati dek terjatuh dari dahan yang tinggi..

Signifikasinya dalam berda'wah, kita mungkin tegar dan teguh menghadapi rintangan berbentuk cubaan dan halangan serta tekanan, namun perlu berhati hati, kerana sering kali para pendakwah terleka dengan kesenangan dan limpah ni'mat yang diberikan sehingga membawa kepada kehancuran dirinya sendiri..

Duhai sahabatku, nasihat ini ku tujukan buat dirimu dan jua buat diriku juga sekalian sahabat seperjuangan yang lain..

Semoga Allah senantiasa memelihara kita dan menetapkan kita di landasanNya walau apa jua yang melanda..Insya allah..ameen..~