Sunday, June 10, 2012

Hiba.

Salamullah 'alaykum, dan salam sejahtera.

Awwal kalam, saya doakan semua pembaca sekalian sejahtera dalam rahmatNya, amen. Hari ini saya nak berkongsi dan mengajak semua bermuhasabah mengenai 'Sedih Atas Tiada Taat Allah SWT'. Bukan sedih putus kasih ya..hehe.

DUKACITA..

Sebelum tu, renung dulu kata kata dari seorang tokoh ilmuan Islam:
"Antara perkara yang mendorong seorang hamba kepada ketaatan adalah perasaan sedih dan dukacita atas tiada amalan taat dan luputnya waktu ketaatan. Namun begitu, kadang kadang perasaan ini tidak berfaedah"- Syeikh Zarruq rhm.

Baiklah, kawan kawan.

Saya yakin pernah terlintas di hati masing masing; perasaan sedih kerana selalu buat maksiat kepada Allah. Walaupun dah banyak kali sebut minta ampun dari Allah, walau dah banyak kali rasa bersalah..tapi, masih ulang lagi kesalahan yang sama. Contoh lintasan hati~

"semalam dah banyak tak sempat minta ampun, hari ni tambah lagi kesilapan (dosa)..aduuh"
"kenapa aku tak rasa apa apa time buat dosa? tapi, lepas buat, menyesal."


Secara fitrahnya, manusia biasa macam kita akan berasa kesal dan sedih atas dosa yang dilakukan. Walaupun fizikal manusia berbeza, tapi fitrah manusia tetap sama iaitu sukakan ketaatan kepada Allah. Sebab itu, tatkala melakukan kesilapan atau kesalahan terhadap tuhan, hati kita cenderung untuk berasa tidak selesa dan terganggu.

Dari sudut Tasauf (akhlak), dukacita terbahagi kepada tiga bahagian, mari kita muhasabah dalam diri masing masing selama ini dimanakah kategori kesedihan kita semua:

1. Dukacita Dusta
2. Dukacita Benar
3. Dukacita Amat Benar


APA BEZA?

Menurut Ibnu 'Ajibah rhm..

Dukacita Dusta : Iaitu dukacita yang tidak disertai dengan beramal soleh.
Dukacita Benar : Iaitu dukacita yang disertai dengan kesungguhan dan kesederhanaan dalam beramal soleh.
Dukacita Amat Benar : Iaitu dukacita kerana habisnya masa kerana kelalaian berbanding amalan.

...

Dukacita yang menipu ini adalah hanya mainan syaitan dalam nafsu hati manusia. Sedih yang dirasa itu hanyalah olok olok dari dalam hati, sekadar dengusan keluhan, tiada susulan dari keluhan kesal itu. Orang ini biasanya akan merasa kesal akan kesalahannya namun dalam masa yang sama kesalahan itu tetap dilakukan! Bahasa sasteranya, "hangat hangat tahi ayam".

Dukacita yang benar pula kekesalan dari hati yang tulus. Kemudian diikuti dengan taubat dan susulan dengan amalan soleh. Orang ini akan berasa tenang semasa hidupnya kerana kesalahan yang pernah dilakukannya dahulu tidak lagi dia ulangi dan mula mengorak langkah ke arah yang lebih baik dari hari ke sehari.

Dukacita yang amat benar pula sukar dicapai oleh orang kebiasaan. Mereka yang terpilih ini hanya merasa dukacita apabila tidak berpeluang beribadat kepada allah, kerana keseluruhan hidupnya difokuskan sepenuhnya untuk pengabdian kepada Allah semata mata.

...

Renungkan. Dimana kita selama ini?

Rupa rupanya, sedih kerana buat maksiat itu belum cukup untuk kekesalan itu diterima Allah. Malah, kesedihan itu tergolong dalam golongan 'sedih tipu' disisi Allah. Sungguh sedih yang sedemikian itu hanyalah mainan dari syaitan kepada hati manusia supaya rasa diri sudah diampun lalu bolehlah kembali berbuat maksiat seterusnya. Liciknya bisikan syaitan!

Akhir kalam, sama sama kita renung dalam dalam azimat ini, semoga ia mampu menggoncang hati kita semua. Disebutkan, Abu Sulaiman ad-Darani rhm. telah berkata:
"..Tangisan yang sebenar bukanlah dengan memerah mata (supaya keluar air mata kesal). Tetapi, tangisan yang sebenar ialah kamu meninggalkan sesuatu (dosa dan sebagainya) yang kerananya kamu menangis.."


"Menangislah (tinggalkan) atas dosa dan kesalahanmu."
-Riwayat Tirmizi: Hassan Shahih

Wallahua'lam.
___________________________
Dipetik dan diolah dari Syarah al Hikam Jilid 2, Imam Tajuddin Ahmad Muhammad bin Abdul Karim b 'Atha'illah As Sakandari : Terjemahan dan Huraian dari Dr. Zulkifli Mohamad al Bakri hafizahumullah 'alaihim ajma'ien.
 


No comments:

Post a Comment