Wednesday, December 29, 2010

Perbezaan antara Kitab dan Suhuf


Dalam ilmu Tauhid, yang dimaksudkan dengan "kitab" adalah "kitab Allah" (al-kutubu al-'aliyyah), iaitu kitab kitab ketuhanan yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dan kepada nabi yang terdahulu daripadanya.

Kitab Terakhir
 "Kitab Allah" ialah kumpulan kalam Alah yang diwahyukan-Nya kepada nabi-nabi dan rasul-rasulnya yang mengandungi hukum hakam, ajaran ajaran, nasihat-nasihat, wa'ad dan  wa'id ( janji baik dan janji buruk ), khabar yang menggembirakan dan menakutkan dan kisah kisah umat purbakala seperti kitab kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran, dimana kitab-kitab tersebut merupakan kitab-kitab yang terbesar dari kitab-kitab Allah.



"Suhuf" ialah kalam-kalam Allah 'Azza Wa Jalla yang diwahyukannya kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya yang tidak dikumpul, dan tidak tidak dijadikan sebuah kitab yang khas, hanya merupakan beberapa lembaran muka surat sahaja sebagai surat pekeliling, seperti suhuf Nabi Ibrahim a.s dan suhuf Nabi Musa a.s..


Firman Allah yang bermaksud :

"atau belumkah ia diberitahu akan apa yang terkandung dalam 'suhuf' ( risalah-risalah ) Nabi Musa? Dan juga ( dalam risalah risalah ) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya ( akan segala yang diperintahkan kepadanya ) ?

[ Surah an-Najm : 36 - 37 ]
Dan firman Allah SWT lagi yang bermaksud :

"Sesungguhnya ( keterangan-keterangan yang dinyatakan ) ini ada ( disebutkan ) di dalam suhuf yang terdahulu ( iaitu ) suhuf Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.

[ Surah al-A'ala : 18 -19 ]
Berhubung dengan bilangan suhuf yang diturunkan oleh Allah Taala kepada nabi-nabi dan rasulnya, sebahagian Ulama menagatakan sebanyak 100 suhuf dan sebahagian Ulama pila mengatakan 110 suhuf.

  • Diturunkan kepada Nabi Adam a.s 10 suhuf
  • Diturunkan kepada Nabi Syith a.s 50 suhuf
  • Diturunkan kepada Nabi Ibrahim a.s 10 suhuf
  • Diturunkan kepada Nabi Idris a.s 30 suhuf
  • Diturunkan kepada Nabi Musa a.s 10 suhuf

Menurut qaul yang muktamad tidak diketahui bilangan yang sebenarnya 'suhuf' yang diturunkan oleh Allah Taala kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya, walaubagaimanapun, wajib atas tiap-tiap orang mukallaf beriman bahawa Allah Taala menurunkan beberapa suhuf kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya dengan jalan ijmal ( secara borong ) termasuk 110 suhuf tersebut..
Wallahua'lam bissowaab..

dipetik daripada:
'Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah 
Haji Saeed Haji Ibrahim
Bekas Mufti Negeri Sabah

terbitan:  
 Darul Ma'rifah Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment