Friday, April 8, 2011

Mampukah Diriku Sepertimu?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Solawat serta salam buat Junjungan Tertinggi Baginda Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya, kaum kerabatnya jua para sahabatnya sekalian.

Umar al Tilmisani

Terdetik hati mahu berkongsi sedikit cebisan perasaan tatkala membaca sebuah buku yang berkait rapat dengan Revolusi Mesir yang berlaku baru baru ini. Seusai membaca beberapa helaian, entah kenapa tiba tiba tertarik kepada satu cerita yang dinukilkan di dalam perenggan khusus, sebuah kisah pengalaman Shaikh Umar Tilmisani sendiri ketika bersama As Syahid Imam Hassan al Banna.

Pada waktu itu kami sedang melakukan satu pertemuan di luar kota. Kerja kerja tersebut selesai kira kira pukul 12 tengah malam. Kami semua sangat letih kerana semangat dan kesungguhan kami dalam bekerja. Kebetulan kami mendapat bilik yang sama ( Shaikh Umar Tilmisani mendapat bilik yang sama dengan Imam Hassan al Banna ). Saya sudah sangat penat sekali dan ingin terus tidur supaya esok tidak terlambat untuk bangun solat Subuh. Kami berbaring di tempat tidur masing masing. Tidak berapa lama kemudian, Imam Hassan al Banna memanggilku: "Umar, kamu sudah tidur?" Aku menjawab "Labbaika, belum lagi mursyid" Beliau tidak berkata apa apa. Tidak berapa lama kemudian beliau memanggilku lagi, juga  dengan soalan yang sama "Umar, kamu sudah tidur?" Lalu aku jawab juga sama "Labbaika, belum lagi mursyid". Aku di dalam hati tertanya tanya mengapa beliau melakukan hal sedemikian. lama beliau terdiam, tiba tiba beliau memanggilku lagi. Kerana aku sudah terlalu penat, akhirnya aku tidak menjawab. Aku harap beliau menyangka aku sudah tidur. Tiba-tiba beliau bangun perlahan lahan, berjalan sambil memegang kasutnya dan terus menuju ke bilik mandi. Di dalam bilik mandi, aku dengar beliau dengan penuh hati hati berwudhu' agar percikan airnya jangan membangunkanku. Kemudian aku lihat beliau mengambil tempat di sudut bilik menghadap kiblat dan beliau pun menunaikan solat malam (qiamullail) beberapa rakaat. Subhanallah!! Begitulah ajaran beliau sagat melekat dihatiku!

Aku termangu, merasa kagum dengan keperibadian As Syahed Hasan al Banna. Kelakuannya jelas membawa seribu erti keikhlasan. Bukan pujian dan sanjungan yang dicari, jauh sekali mahu berbangga dengan pencapaian dan amalannya, tetapi nilai istiqomah dan keikhlasan beliau dalam beribadah mencuit hatiku. Seolah olah ada satu lagi 'kesedapan' yang dirasakan beliau dalam beribadah. Ya! Kemanisan ibadah yang dijelaskan dalam banyak hadis, jelas dirasai dan dini'mati beliau. Kenikmatan inilah yang mampu 'membius' beliau untuk terus melangsaikan hutang solat malam walaupun sangat penat seharian bekerja.

Lalu, aku melihat kembali kepada diri ini yang penuh sandiwara. Mungkin nilai ikhlas jauh sekali dari segala ibadahku, masya allah. Aku teringat pesan akhi Hasnan dalam nukilannya tempoh hari, akhi Hasnan menjelaskan, ketenangan jiwa dicapai dengan mengenal siapa kita dan mengelak diri dari membandingkan diri dengan orang lain dengan tujuan mencari kesempurnaan kerana tiada yang sempurna di dunia ini melainkan Allah jua. 


Sememangnya aku sangat jauh untuk dibanding dengan keperibadian as Syaheed ini, namun aku tidak mahu terus resah, merasa putus asa dari turut sama merasai ni'mat ini. Aku mahu juga sekurang kurangnya mengecap nikmat manisnya dan 'tenggelam' dalam kyusuk beribadah. Jika tidak sama, sekadar yang termampu akan daku usahakan.

Duhai tuhan, permudahkanlah buat hambamu yang lemah ini, ameen. 


 
 

2 comments:

  1. Subhanallah...sayunya rasa hati ini tatkala daku cuba membayangkan saat suasana Asy-Syahid Hasan Al-Banna ingin mempersembahkan tanda kehambaannya pada Ilahi..sedangkan diri ini sentiasa terus-menerus melakukan dosa berganti hari...

    Ya Ghaffur, Engkau ampunkanlah kami Ya Allah..kerana hambaMu ini tidak pernah terlepas dari melalukan dosa...dan kami sering memungkiri janji-janji kami agar tidak mahu mengulangi dosa-dosa yang telah kami lakukan.. Semoga kami sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah kepadaMu Ya Rabb..

    "..Ya muqallibal quluub..tsabbit qulubana '
    alaa diinik..wa 'ala too'atik.."

    ReplyDelete
  2. Benar ustazah Nasibah,

    ketulusan hati si syahid ini sangat mengagumkan.
    Semoga kecintaan kita semua kepada si Syahid ini turut mengalirkan bersama semangatnya ke dalam diri kita semua untuk turut istiqamah..ameen.

    Insya allah.

    ReplyDelete