Thursday, June 2, 2011

Bismillah.

Solawat serta salam buat Junjungan Termulia Baginda Besar Nabi Muhammad SAW juga ke hadapan sekalian kaum kerabatnya yang disanjungi seterusnya para sahabat Baginda yang dirindui seterusnya kepada sekalian kaum Muslimin yang meneruskan risalah da'wah Tauheed ini sehingga ke hari kiamat.

Alhamdulillah. Selepas beberapa ketika akhirnya dengan kesepakatan Kudrat dan Iradah Allah, lalu Dia mengizinkan aku pada pagi yang penuh keberkatan ini untuk meluangkan sedikit masa menulis dan mencoret sedikit nukilan buat tatapan hati ini yang amat lagha dan tidak merasa gundah akan maslahah diri dan ummah, masya Allah.


TIGA SERANGKAI

Hari ini atau lebih tepatnya sebentar lagi tatkala masuknya azan Maghrib, Insya allah, aku berpeluang lagi menjejakkan kaki dan hati ke dalam Bulan Rejab. Jika Muharram dikenali sebagai bulan permulaan dalam kalender hidup umat Islam, juga Rabi'ul Awwal dipenuhi dengan kerinduan memperingati hari hijrah Rasulllah SAW ke Madinah dan menyambut hari kelahiran Baginda, maka begitu juga dengan Bulan Rejab.

Rejab dikenali juga dengan Bulan Allah hadir selepas tamamnya bulan Jamadil Akhir yang secara tidak sedar mengkhabarkan kepada kita bertapa dekatnya kita dengan penghulu sekalian bulan iaitu Bulan Ramadhan al Mubarak. 

Jelas, Allah memuliakan Rejab dengan peristiwa Isra' Mi'raj didalamnya yang padanya berlangsung sejarah pensyariatan solat yang merupakan tonggak ibadah terpenting umat Islam sehingga ke hari kiamat. Allah juga memuliakan Sya'ban dengan malam Nisfu Sya'ban yang padanya adalah detik dimana doa umat Islam tiada terhijab dari dimakbulkan oleh Allah. Lalu, ALlah mendatangkan Ramadhan selaku penghulu segala bulan sebagai pelengkap akan segala khazanah peristiwa ini dimana padanya tersimpan peristiwa Nuzul al Quran yang mana merupakan kitab pedoman tertinggi umat manusia sehingga ke hari kiamat.


TIGA BULAN SEBELUM RAMADHAN DENGAN TIGA BULAN SEBELUM KENDURI

Secara kebiasaannya manusia kurang mengambil berat soal persiapan dari aspek rohani sebegini. Hal ini kerana persiapan berbentuk rohani sebagai rangka persiapan menghadapi Rejab Syaban dan Ramadhan sudah tentu tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar. 

Namun, cuba bandingkan dengan persiapan berbentuk jasmani, biasanya manusia amat mengambil berat soal ini. Mengapa? Kerana manusia hanya mementingkan apa yang dilihat pada zahir pandangan mata kasar sahaja, walhal semua itu tidaklah sepenting persiapan dari aspek hati dan jiwa.

Inilah fitrah manusia yang merasakan ingin kepada harta dan kesenangan serta menikmati kemewahan. 


RINDU BERTEMPAT DIHARUSKAN SYARA'

Maka, disebabkan terlalu banyak keindahan khazanah peristiwa yang berlaku dalam tiga bulan yang akan kita tempuhi bersama ini, sudah semestinya suasana ini dirindui bagi hati hati yang sukakan kebahagiaan hakiki. Lihat sahaja dalam doa yang diajarkan kepada kita, tatkala masuknya Bulan Rejab, maka dibacanya doa ini yang secara jelas memberi perlambangan bagaimana cintanya dan kasihnya Baginda Rasulullah SAW untuk menempuhi ketiga tiga bulan besar ini.


اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا الى رمضان لا اله الا الله الحليم الكريم "

سبحان الله رب السموت السبع ورب العرش العظيم

" ولا حول ولا قوة الا بالله العلى العظيم 


Ya Allah, berkatkanlah bagi kami seluruhnya dalam Bulan Rejab, juga dalam Sya'ban sehingga ke Bulan Ramadhan. Tiada Tuhan selayaknya diabdikan melainkan ALlah Tuhan Maha Penyantun lagi Maha Mulia. Maha suci Allah Tuhan Pentadbir seluruh khazanah langit tujuh lapisan dan Tuhan Pentadbir Arash yang mulia. Sungguh tiada daya dan upaya kami melainkan dengan izinMu Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia

PERSIAPKAN DIRI DENGAN ILMU

Oleh hal yang demikian, seharusnya kita para pemuda sekalian, sewajarnya tidak mensiakan peluang bertemu tiga bulan indah ini. Ayuh, persiapkan diri menghadapi seluruh bulan bulan ini dengan merancang dan membayangkan keadaan dalam setiap hari sepanjang tiga bulan ini. Dengan harapan kita mampu menyelusuri setiap hari hari indah yang berlalu dalam ketiga tiga bulan ini dengan penuh keberkatan dan keredhaan ALlah, amen.

Mulakan hari hari yang berbaki ini untuk sama sama kita mencari penyelesaian segala permasalahan dalam ibadah seharian kita khususnya agar Rejab Sya'ban Ramadhan yang kita selusuri ini adalah tiga bulan yang lebih baik dari sekalian bulan bulan dan hari hari yang telah kita lalui, Insya allah.

NASIHAT UNTUK DIRIKU

Jika masih berpeluang merasa ni'matnya Rejab Sya'ban Ramadhan, maka sedarilah dirimu antara jiwa yang beruntung kerana berapa ramai dari kalangan para sahabatmu yang telah pergi yang tidak mampu lagi merasai kenikmatan ini. Dan berapa ramai juga dari kalangan saudaramu yang sedang bergolak tidak mampu memberi tumpuan kepada aspek ini dek kerana diambang ketakutan dan kezaliman penindasan. Dan sedarilah juga, mungkin ini peluang terakhir buat dirimu berbakti dan mengimarahkan ketiga tiga bulan ini kerana siapa tahu, ajalmu menanti pada 1 Syawal nanti.

Oleh itu, tiada salahnya jika engkau malu ketika ini mengejar khazanah yang tidak dilihat manusia kerana malu disini jauh lebih kecil berbanding malunya dirimu di hadapan ALlah tatkala disoal akan peluangmu yang engkau siakan kerana membiarkan tiga bulan besar ini berlalu tanpa pengisian dari jiwa dan hatimu.

Berubahlah dan bina kehidupan baru yang lebih indah untuk ditatapi kelak. Insya ALlah, dirimu mampu berubah kerana Allah mencintai jiwa yang suka bertaubat dan membersihkan diri dan hati.

Allahumma yasiirli wa waliwalidayya wa liqarabati wa liashabi summa ila jami'el muslimin. Fajma' bainana baina Nabiyyina Muhammad Sollallhu 'alaihi wasallam yauma la yanfa'u maalun wala banuna illa man atallaha biqalbin salim, amen ya Rabb.

Amen ya Rabbal 'Alamien.

No comments:

Post a Comment