Saturday, November 26, 2011

Sepuluh Salinan Berdakwat Kekal.

Bismillah.
Solawat serta salam buat Junjungan Nabi Muhammad SAW, kaum qarabat baginda yang termulia, para sahabat yang suci lagi disanjung serta sekalian para tabi'en, tabi' tabi'en dan seterusnya atas sekalian ummah baginda rasulillah saw yang disayangi dan dicintai sekalian.

Sequoiadendron gigenteum

" Sila gali balik azam anda tahun lepas, kemudian tanam semula dengan lebih dalam! Bukan gali balik dan tanam yang baru kerana pastinya tahun depan azam anda belum sempat tumbuh subur kerana anda buang dan ganti yang lain. Sebaliknya, Tajdidkan niat, dan tambahkan baja pada azam anda. Ibarat menanam pokok, jangan ditanam pokok keembung dan bunga raya tetapi tanamlah benih Sequoia atau Alphine Ash yang jauh lebih lama jangka masa hidupnya "

-Akhi Amjad Hafizahullahu wa Ardhoh.
  

Akhir Zulhijjah & Awal Muharram. 

Elok sangat banyakkan menginsafi diri. Sudah sejauh mana pengabdian berlalu ditahun sudah. Aku sudah menjangkau umur 'akil baligh hampir sepuluh tahun. Bermakna, sudah sepuluh suratan amalan aku terpahat didada catatan raqib dan 'atid. 

Juga bererti, hampir sepuluh lampiran helaian hisab yang pasti akan dibuka suatu masa nanti di mahsyar sana. Aku tak yakin, seratus peratusnya diterima Allah sebagai 'ibadah. Sudah tentu disana adanya terlalu banyak ma'siat dan lagha yang aku buat. Lompang busuk dan daki hitam noda bertaburan bertempek dilembaran amalan aku. Ya Allah!

Angka sepuluh sudah terlalu banyak untuk melakukan lagi ma'siat di depan hari. Adakah aku hilang akal, jika sudah tahu amalan dahulu pun sudah banyak yang kotor, masih mahu ditambah dengan lembaran kesebelas ini lagi dengan kekotoran yang tiada berkesudahan. Aku tidak mahu!

Namun, sepuluh lembaran kebaikan juga masih tidak mencukupi jika hendak dibanding dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah selama sepuluh tahun aku 'akil baligh ini. Aku hidup selesa makan minum bertenaga dan berfikir. Meneruskan sepuluh tahun dengan pelbagai ni'mat dan anugerah. Cukupkah dengan secebis kebaikan yang masih tidak diketahui ketulenannnya itu membayar kebaikan Allah mengasuh diri selama ini? Sudah tentu tidak cukup!

Lalu, apa aku mahu buat?
Takkan mahu hadapi sahaja lembaran lembaran amalan seterusnya dengan wajah yang sama? Tiada perubahan? Hanya ulangcetak sahaja amalanku dari sehari ke sehari, tanpa ada perubahan sejak sepuluh lembaran yang lalu? Itukah yang aku mahu?

Hati Yang Keras Vs Amalan Berterusan

الاستقامة خير من الف كرامة 
" Amalan yang istiqomah itu lebih baik dari seribu karamah "

Ada baiknya berpijak pada realiti. Kalau tahu kail sejengkal jangan diduga lautan samudera. Oleh sebab diri tidak seampuh Usamah b Zaid yang dilantik menjadi panglima tempur diusia remaja. Aku juga tidak seteguh Imam an Nawawi menginfaq masa setiap detik demi ilmu dan Islam semata mata. Maka, biarlah aku bermula dengan amalan amalan kecil sahaja.

Pesan Ustaz Aziz Syiria, ketika menghuraikan bait kitab Matla'ul Badrain:

 " Tak usah malu kamu buat amalan amalan yang biasa biasa sahaja. Kerana asal kamu tahu, amalan itu jauh lebih bernilai disisi Allah dari lambakan amalan lain yang dilakukan dalam jangka masa singkat dengan hanya satu syarat. Iaitu, istiqomah. Jaga benda benda kecil, insya allah lama lama kita akan diberi kekuatan melaksanakan yang besar besar."


Tiga Yang Terpilih.

Al kisah, Imam Abu Hurairah pernah suatu ketika bersama Rasulullah SAW. Al maklumlah, Imam Abu Hurairah memang tidak pernah berenggang dengan Nabi, itu sebab terlalu banyak hadis diriwayat dan dirujuk kepadanya. Lalu, suatu hari, alangkah bertuahnya beliau apabila baginda telah memberi satu wasiat khusus kepadanya. Apa itu?

Telah berkata Abu Hurairah r.a:

"Telah berwasiat kekasihku (Nabi Muhammad SAW) kepadaku dengan tiga perkara. 
Pertama, aku disuruh berpuasa 3 hari setiap bulan, keduanya solat Dhuha 
dan terakhir mengerjakan solat witir di setiap malam"
-Muttafaqun 'alaih-


Selepas ingat semula pesan ustaz serta hadis diatas. Aku rasa ada baiknya aku cuba lunaskan dahulu benda benda kecil yang biasanya tidak terjaga oleh aku selama ini. Banyak perkara seharian yang jika diamati, aku tidak laksanakan atau buat sambil lewa sahaja.

Kata ustad, wasiat Abu Hurairah ini elok sangat untuk tholibul ilmi yang masih bujang, tidak berharta atau faqier (duit dari abi ummi sahaja), dan bukan orang berjawatan. Ini kerana, Abu Hurairah bukanlah sekaya Saiyyidina Utsman, tidak juga memegang jawatan khalifah seperti Sayyidina Abu Bakr juga tidak menjadi panglima tempur seperti Sayyiduna Umar.  Itulah hikmah hadis, sekali baca tak terlintas difikiran.


Khulasah

Jarak aku dengan baginda Rasulillah SAW sudah mencecah hampir 1433 tahun. Suatu jarak yang sangat lama. Ibarat sebatang sungai, air dari hulu mengalir ke muara mengambil jarak 1433 kilometer. Sudah tentu, kualiti air dimuara tidak lagi sejernih dan sesegar air dihulu dek kerana terlampau jauhnya jarak antara keduanya. Keladak, sampah, bangkai, dan macam macam merosakkan kualiti air itu. Maka, nasihat peringatan para 'alim ulama'lah sebagai penapis air itu yang akhirnya dijadikan pedoman hidup untuk menempuh hari hari seterusnya. =)

2 comments: