Sunday, January 29, 2012

Ribath al Qalb.

Bismillah.
Solawat serta salam atas Junjungan Tercinta Rasulillah SAW.

Alhamdulillah, selepas sudah agak lama tidak mencoret apa apa disini, dhuha yang indah ini Allah beri kesempatan. Moga moga sedikit perkongsian diberi barakah dan pahala disisi Allah SWT.

Minyak Wangi
 “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Memilih sahabat bukan kerja senang kerana mereka pantulan identiti kita. Sudah menjadi adat manusia mungkin, bersahabat dengan seseorang yang mempunyai paling banyak persamaan. Hobi, asal keturunan, tabiat kelakuan, pandangan dan kegemaran sering menjadi kriteria memilih sahabat. 

Konklusinya, seringkali persahabatan itu dimulai dengan persamaan dan jarang sekali saya dengar persahabatan bermula dengan perbezaan. Lumrah insani.

Namun, selepas meneliti kembali saya berpandangan persahabatan itu perlu lebih dari itu. Kalau kita lihat dalam konsep usrah yang diasaskan oleh Baginda Rasulillah SAW, Baginda tidak pernah melihat apa apa persamaan untuk menjadi pra syarat kepada baginda untuk layak bergelar 'Sahabah' kecuali hanya satu ya'ni Syahadah. Dalam erti kata lain, akidah. 

Seperti yang dicatat dalam Qasidah Muhammadiyah menggambarkan peribadi baginda:
"Muhammad itu semulia manusia; dalam kalangan 'Arab dan 'Ajam (bukan 'Arab) #Muhammad sebaik insan  berjalan atas telapak kakinya sendiri (rendah diri, tiada beza taraf)" 

Malah, al Imam  Hassan al Banna dalam mengasaskan pendekatan Usrah meletakkan tiga ciri utama iaitu, Pengenalan, Memahami dan Membantu tanpa meletakkan ciri 'Persamaan' sama sekali. As Syahid seolah meletakkan perbezaan manusia itu perlu dikenali sepenuhnya, difahami selok beloknya dan dibantu semampu mungkin. Sangat berbeza sebenarnya cara 'berkenalan' yang dianjur As Syahid dengan teknik biasa diguna orang kita untuk memilih sahabat.

Pada saya, mungkin atas didikan minda inilah, terkadang sifat mudah meminggirkan dan menyisihkan personaliti disekelilingnya yang tidak mempunyai persamaan timbul. Lebih lagi kalau timbul pula sifat kebencian disebabkan perbezaan ini. Sebagai contoh, apabila berlaku sedikit salah faham, kita cenderung melihat kepada perbezaan itu untuk bersikap 'tidak masyuk' dengannya. Walhal, itu bukan sebab yang kukuh sebenarnya.

Perbezaan pandangan, pemikiran dan pendapat bukanlah sesuatu yang pelik kerana sememangnya manusia dicipta dengan sifat yang saling melengkapi antara satu sama lain. Seolah sebuah binaan yang kukuh kata Allah dalam surah as Soff, memberi perumpamaan bahawa konsep melengkapi dalam perbezaan itu perlu diterapkan.

Ketahuilah, saranan ini telah pun diseru dan dipujuk oleh baginda sejak dahulu lagi melalui sabdanya daripada Abu Daud yang bermaksud:
"Seseorang sahabat itu mengikut deen (cara hidup) sahabatnya maka hendaklah salah seorang dari kamu melihat dengan siapa ia bersahabat" 
Malah Allah juga meletakkan ciri yang sama dalam firmanNya bermaksud:
"..Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara, maka berbaiklah diantara kamu.."
Sudah jelas, memilih sahabat yang sebenar adalah berasaskan agama dan akidahnya. Selagi dia Islam, maka kita berhak bersaudara dengannya dan dia berhak untuk kita cintai. Tiada yang berhak menghalang.

Perbezaan dalam setiap peribadi ibarat beza bau minyak wangi. Ada yang baunya lembut ada juga yang keras. tidak kurang juga bercirikan buah buahan malah ada juga yang berunsurkan campuran. Namun, segalanya dalam satu rumpun, diletak bersama sebagai 'minyak wangi'. Itulah umat Islam. Bezanya walau dari sudut mana sahaja, ia tetap Muslim dan ia wajar disayangi dan dikasihi kita semua.

Yang bukan Islam? Insya allah, saya utarakan dalam post seterusnya.

Khulasah qoul, perbezaan pandangan dan tidak sama pendapat dalam apa apa jua hal wajar dipandang sebagai penyatu antara umat Islam.

Bayangkan, apa agaknya perasaan Baginda melihat umatnya sekarang yang seakan mahu kembali meniupkan sentimen perkauman dan perbezaan ideologi sebagai asas perjuangan. Cukuplah kita membuatkan baginda sedih saban hari.

Ayuh, sama sama kita insafi dan menyedari bahawa kesatuan manusia hanya boleh dicapai dengan mendasari Islam itu sendiri. Kalau kita masih berfikiran, bangsaku perlu dimartabatkan dan bangsa lain semuanya menaruh hasrat keji ke atas bangsa kita, ibarat kita menambah perit derita dihati baginda Rasulillah SAW sekarang.

Bersatulah Di Bawah Islam !


*salah silap saya dalam penulisan, sila tegur.

4 comments:

  1. Smeta mok nge anok, smeta minyok atar pulok... Pahni nok bui analogi gapo pulok Din?

    hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe..biasalah. analogi bukan satu. ilmu Allah bukan seribu. :)

      Delete